Islam sedia panduan tangani gejala sosial

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

BANYAK negara di dunia masih dihantui konflik agama. Bukan sedikit nyawa terkorban dan harta benda musnah lantaran timbul pergaduhan serta salah faham dalam kalangan penganut agama yang berbeza.

Islam sudah menunjukkan satu garis panduan sejak awal lagi bagaimana menangani permasalahan sosial sebegini supaya tidak timbul permusuhan dan pergaduhan sesama manusia sejagat.

Islam menyarankan resipi terbaik buat umatnya menjalani kehidupan dalam masyarakat pelbagai agama.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahanah, ayat 60).

Jalur kehidupan Islam cukup murni dan harmoni dengan membuka ruang kepada umatnya saling menghormati antara satu sama lain meskipun berlainan agama.

Tokoh ulama tersohor, Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata ada empat faktor menzahirkan sikap toleransi unik Islam antaranya keyakinan terhadap kemuliaan manusia.

Apapun anutan agamanya, rupa bangsa dan kesukuan seseorang itu didasarkan kepada kemuliaan sebagai manusia.

Faktor kedua ialah keyakinan bahawa perbezaan manusia dalam beragama memang realiti yang dikehendaki Allah yang memberikan manusia kebebasan untuk memilih iman atau kufur.

Disebabkan itulah Islam tidak pernah memaksa penganut agama lain memeluk Islam.

Selain itu, seseorang mukmin itu tidak dituntut untuk mengadili kekafiran seseorang yang lain atau menghukum kesesatan orang sesat.
Hanya Allah saja yang berhak secara mutlak mengadili mereka pada hari kiamat kelak.

Faktor keempat, keyakinan bahawa Allah memerintahkan seorang mukmin berlaku adil dan mengajak kepada gaya hidup berakhlak mulia meskipun terhadap orang musyrik.

Dikisahkan bahawa Rasulullah SAW sangat menekankan hal toleransi antara penganut agama berbeza kepada umatnya. Malahan, ketika dalam peperangan sekalipun, Rasulullah SAW melarang sahabat memaksa tawanan musuh memeluk Islam.

Contohnya, pada 631-632 masihi, Islam berjaya menguasai wilayah Najran dan kawasan sekitarnya, namun Rasulullah SAW berjanji untuk melindungi jiwa, agama dan harta benda kaum Nasrani di wilayah itu.

Baginda Rasulullah SAW mengarahkan kepercayaan, adat kebiasaan, hak dan kewajipan mereka tidak diganggu.

Begitu juga semua pendeta dan guru agama Nasrani di Najran tidak dipecat.
Rasulullah SAW melarang keras berbuat zalim dan aniaya terhadap mereka selagi mereka tidak melakukan zalim terhadap kaum muslimin.

Patung dan palang salib kaum Nasrani itu pun tidak diusik langsung oleh Rasulullah SAW dan sahabat.

Jadi, di sini jelas memperlihatkan sikap Islam yang sangat bertoleransi terhadap penganut agama lain dalam pelbagai keadaan.

Banyak lagi kisah mempamerkan sikap toleransi Islam terhadap penganut agama lain yang ditunjukkan Rasulullah SAW serta sahabat Baginda yang kental dalam iman serta takwa mereka memelihara agama Allah.

Ini diakui penulis Barat, H G Wells menerusi bukunya, ‘What is Coming’ yang mengatakan: “Agama Islam ialah agama yang agung lagi sederhana dan hidup di ruang terbuka.”

Begitu juga kajian dibuat oleh Dr Mingana yang tercatat dalam The Buletin of John Rylands Library, Manchester (1926) yang memaparkan coretan bahawa khalifah Islam begitu tinggi sikap toleransi terhadap penganut agama lain.

Justeru, seandainya semua penganut agama lain dapat mengikuti susur sejarah Islam sebenarnya pasti mereka tidak akan berprasangka buruk dan menuduh yang bukan-bukan terhadap Islam serta penganutnya yang sentiasa bertimbang rasa dalam semua aspek.

Begitu jugalah dengan umat Islam sendiri seharusnya kembali menonjolkan karakter sebenar Islam yang sentiasa menghormati anutan agama lain selagi mereka tidak bertindak zalim dan memusuhi Islam.

Inilah jalur kehidupan indah yang dipaparkan oleh Islam.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url