Kerajaan akan bekukan hydrochlorofluorocarbons (HCFC)

PUTRAJAYA 12 Okt. - Berkuatkuasa Januari 2012, kerajaan akan membekukan penggunaan bahan kimia hydrochlorofluorocarbons (HCFC) dalam industri dan sektor yang menggunakan bahan pemusnah ozon itu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, bahan kimia tersebut yang digunakan secara meluas dalam sistem penghawa dingin kenderaan, peti sejuk dan penyembur aerosol merupakan punca utama kepada penipisan lapisan ozon.

Berikutan itu, katanya, penggunaan teknologi alternatif lain bagi menggantikan bahan itu diperlukan untuk memastikan bumi dan penduduknya selamat.

“Langkah ini sejajar dengan hasrat Malaysia untuk mematuhi komitmen antarabangsa di bawah Protokol Montreal yang mahu menghapuskan pengeluaran dan penggunaan HCFC menjelang 2030.

“Oleh itu, kerajaan akan membekukan bahan itu mengikut kadar yang digunakan pada tahun lalu dan kemudian diikuti siri pengurangan secara berperingkat bermula 2015 hingga dihapuskan sepenuhnya.

“Sebagai alternatif, kerajaan akan bekerjasama dengan Jepun untuk berkongsi teknologi yang diguna pakai negara itu bagi menggantikan HCFC dalam industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Ozon Antarabangsa 2011: Pelancaran Setem dan Seminar Mengenai Teknologi Alternatif kepada HCFC di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Rosnani Ibrahim.

Seminar sehari itu bertujuan membincangkan penggunaan teknologi alternatif menggantikan HCFC yang sedang digunakan Jepun dalam industri buih, penghawa dingin dan peti sejuk.

Pada masa sama, Kurup meminta semua industri yang terlibat supaya menggunakan teknologi alternatif bagi menggantikan HCPC sebagai usaha menyokong kerajaan mengatasi masalah penipisan lapisan ozon.

“Jika pihak industri akur dengan keputusan ini maka kita tidak perlu ubah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 namun jika enggan, kita akan meminda akta ini supaya dapat mengawal penggunaan bahan kimia itu,” katanya.

Sementara itu, Rosnani berkata, sempena sambutan Hari Ozon Antarabangsa, pihaknya mengeluarkan 30,000 keping setem berharga 30 sen seunit bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai supaya memelihara lapisan ozon.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url