Nadi pesawat C130H
DERUAN enjin pesawat Charlie 130H yang baru sahaja mendarat selepas dibawa menjalani latihan penerbangan oleh beberapa kru memecahkan kesunyian suasana petang di lapangan No. 20 Skuadron (20 SKN), Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor baru-baru ini.
Sebaik berhenti, beberapa pegawai yang segak berseragam hijau mula keluar dari pintu kokpit yang terbuka. Masing-masing tersenyum sambil menunjukkan isyarat tanda bagus dan berpuas hati dengan sesi latihan tersebut.
Kemudian pesawat pengangkut berwarna kelabu seberat 38,555 kilogram itu perlahan-lahan dibawa memasuki kawasan gudang bagi tujuan penyelenggaraan oleh krew.
"Sesi latihan penerbangan hari ini berjalan lancar dan pesawat juga berada dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah teknikal," spontan ucapan yang dilontarkan Mejar Mohd. Jafri Suboh, 37, seorang juruterbang merangkap jurulatih di No. 20 SKN.
Lebih dikenali sebagai C130H, Charlie merupakan pesawat pengangkut pelbagai fungsi yang telah digunakan oleh TUDM sejak tahun 1976. Ia sering digunakan dalam operasi menyelamat, bantuan kemanusiaan, penerbangan ihsan dan banyak lagi jika mahu disenaraikan.
Malah, boleh dikatakan pesawat itu merupakan tulang belakang atau nadi kepada TUDM dalam menjalankan pelbagai misi dan operasi tertentu.
Menurut Jafri, setiap penerbangan untuk pesawat C130H akan dikendalikan enam krew bertugas yang terdiri daripada juruterbang, pembantu juruterbang, navigator (jurumalim), jurutera pesawat dan quartermaster udara seramai dua orang.
Sepanjang berkhidmat selama 19 tahun bersama TUDM dengan penerbangan pertama dilakukan pada 1994, juruterbang kelahiran negeri bersejarah, Melaka itu telah menyertai pelbagai operasi luar termasuk Ops Piramid di Mesir, bantuan kemanusiaan di Myanmar, China, Pakistan, Papua New Guinea, Acheh, Jogjakarta dan sebagainya.
"Apa yang pasti, sebelum sesebuah pesawat C130H mendarat atau memasuki mana-mana ruang udara sesebuah negara, kru pesawat perlu mendapatkan pelepasan diplomatik.
"Prosedur ini sangat rumit dan perlu kebenaran dari pihak berkuasa negara terbabit. Justeru, jika ada kekangan dari pihak luar terutama di negara bergolak, ia akan menyebabkan sesuatu operasi menyelamat atau bantuan kemanusiaan terpaksa ditangguhkan," jelas Jafri.
Tambahnya kru pesawat C130H sentiasa menyedari bahawa tugas yang dipikul mereka meliputi 24 jam sehari dalam seminggu dan membawa hingga 365 hari atau setahun.
"Ini bermakna, kami turut menggunakan istilah on call yang sering diguna pakai oleh doktor-doktor di hospital di samping cuti yang turut dibekukan jika ada sebarang operasi tergempar dan situasi kecemasan yang memerlukan kepada penggunaan pesawat C130H," katanya lagi.
Penyelenggaraan pesawat
Sementara itu, bagi memastikan pesawat sentiasa berada dalam keadaan terbaik terutama aspek teknikal seperti bahagian enjin, elektrikal dan sebagainya, ia merupakan amanah yang terpikul di bahu mereka yang bergelar jurutera penerbangan.
Salah seorang daripadanya ialah Kapten Razali Hashim, 43, yang berpengalaman selama 15 tahun dalam menyelenggara pesawat C130H.
Ujar Razali, dia akan bertindak sebagai perantara antara kru penyelenggaraan dan kru pesawat tentang siap siaga sesebuah pesawat sebelum ia dibenarkan berlepas.
"Biasanya dua jam sebelum terbang, saya akan memaklumkan kepada kapten tentang keadaan fizikal pesawat dan bersiap untuk berlepas.
"Apabila berada dalam penerbangan pula, saya perlu memastikan pesawat sentiasa dalam keadaan baik dan tidak mengalami masalah teknikal yang boleh menyebabkan sesuatu kejadian buruk berlaku," terang Razali yang mula menyertai TUDM pada usia 20 tahun.
Bagaimanapun pada waktu biasa dan jika tiada sebarang operasi, Razali tetap akan memeriksa bahagian minyak dan teknikal pesawat dengan teliti demi tidak membahayakan keselamatan kru yang bertugas kelak.
Bertarung nyawa
Tambahnya antara cabaran besar yang perlu dihadapi adalah jika ditugaskan di kawasan yang belum pernah dikunjungi sebelum itu. Dia perlu membuat penyelidikan sendiri untuk mengetahui maklumat lanjut tentang lokasi tersebut.
"Ini bagi memudah dan melancarkan modus operandi sesuatu operasi. Selain itu, saya juga perlu mengetahui lokasi untuk pembaikan dan penyelenggaraan pesawat di tempat berkenaan serta melakukannya sendiri," ungkap bapa kepada dua cahaya mata ini sambil memberitahu sewaktu baru mendirikan rumah tangga, keluarga sentiasa bimbangkan keselamatan dirinya, namun akhirnya mereka sedar tugas itu merupakan tanggungjawabnya pada negara.
Apa yang pasti, masyarakat perlu mengetahui bahawa setiap tugas yang digalas oleh kru pesawat Charlie tetap mempunyai risiko tersendiri dalam berdepan dengan insiden yang mampu membahayakan nyawa mereka.
Perkara itu diakui oleh Kapten Mohd. Khairol Fadly Abu Bakar, 28, yang banyak terlibat dalam operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan sejak berkhidmat dalam Skuadron 20 bermula pada tahun 2006.
"Kebanyakan misi bantuan kemanusiaan dan menyelamat yang dijalankan tidak mampu untuk dilakukan oleh juruterbang pesawat komersial. Ini disebabkan polisi mereka yang tidak akan masuk ke kawasan yang berbahaya atau diketahui kurang selamat.
"Jadi, di sinilah kelebihan juruterbang dan kru pesawat TUDM yang sanggup membahayakan diri semata-mata melaksanakan tugas yang telah terpikul di bahu," ungkap Khairol atau lebih dikenali dengan panggilan Kapten Karo dalam kalangan rakan setugas.
Ditanya tentang kepuasan yang dirasakan sepanjang bertugas, anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu pantas memberitahu, perkara itu sukar untuk diungkap dengan kata-kata.
"Apabila dapat menolong orang susah contohnya melalui penerbangan ihsan untuk kanak-kanak yang sakit jantung atau tenat, menghantar bantuan makanan kepada mangsa bencana alam dan sebagainya, saya rasa amat puas. Dalam erti kata lain kepuasan dalaman yang dirasai sukar untuk dikongsi melainkan bagi mereka yang pernah melaluinya," tuturnya yang turut terlibat dalam Ops Piramid bagi membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir Januari lalu.
- KOSMO!