Teknologi bantu golongan OKU
ACAPKALI golongan orang kelainan upaya (OKU) terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan dalam kehidupan semata-mata ingin menikmati secebis kemudahan ditawarkan kepada manusia normal.
Apakan daya, kadangkala kemudahan yang ditawarkan kepada golongan normal tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya golongan istimewa itu terutamanya bagi mereka yang berkerusi roda.
Secara tidak langsung, senario tersebut telah membantutkan niat golongan OKU dalam merasai pengalaman beriadah ataupun bersiar-siar bersama keluarga mahupun sahabat handai mereka.
Lebih menyedihkan ada di antara mereka terpaksa melupakan terus aktiviti beriadah kerana bimbang akan tanggapan mengenai sesuatu yang buruk atau perkara yang tidak diingini boleh berlaku kepada mereka di luar rumah.
Menyedari kepentingan tersebut, Ng Say Leng, 32, yang merupakan pemilik Pemilik SayIT Sdn. Bhd., telah membangunkan portal www.inclusivemalaysia.com.my yang amat membantu golongan OKU.
Antara lain, ia menawarkan maklumat mengenai kemudahan yang ditawarkan kepada golongan tersebut.
Lelaki berkerusi roda itu memberitahu, portal tersebut telah dibangunkan dan diselenggara bersama Yayasan Untuk Orang Kelainan Upaya Beautiful Gates dalam memberi platform dan informasi tentang destinasi pelancongan boleh guna serta tanpa halangan buat golongan OKU.
“Secara dasarnya, portal ini dibangunkan untuk memastikan golongan OKU dan warga emas dapat menjalani kehidupan dengan lebih berdikari dalam komuniti hari ini. Ia memaklumkan pelbagai informasi kepada mereka mengenai kemudahan yang boleh digunakan.
“Selain daripada itu, kita berharap dengan pembangunan portal ini, ia dapat membantu menggalakkan lebih banyak destinasi pelancongan boleh guna dan kawasan tanpa halangan di negara ini sekali gus memudahkan urusan riadah dan rekreasi golongan OKU,” katanya kepada Kosmo!
Say Leng menambah, portal berkenaan juga boleh bertindak sebagai rujukan kepada mana-mana agensi ataupun kawasan tumpuan orang ramai untuk menaik taraf kemudahan mereka demi kegunaan golongan OKU.
Katanya, dia masih memerlukan bantuan pelbagai pihak dalam mengendalikan portal yang mendapat kerjasama daripada Yayasan Untuk Orang Kelainan Upaya Beautiful Gates dan ditaja Japan International Cooperation Agency (JICA) itu.
“Agak sukar mengendali portal tersebut seorang diri dan saya memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak untuk memastikan ia dapat beroperasi dengan baik serta sempurna.
“Buat masa ini, kami belum melancarkan portal berkenaan secara rasmi lagi tetapi sudah ada golongan OKU yang menggunakan portal tersebut. Ia juga telah diguna pakai golongan OKU luar negara,” ujarnya lagi.
Pengalaman sendiri
Mengimbas kembali faktor yang membuatkan Say Leng bermotivasi membangunkan portal berkenaan, dia memberitahu bahawa dirinya pernah mengalami kesukaran apabila menggunakan perkhidmatan awam.
Keluhnya, tempat berkenaan tidak menyediakan lif untuk golongan berkerusi roda.
Lebih menyedihkan, tempat berkenaan juga tidak menyediakan laluan tanjakan (ramp) untuk pengguna berkerusi roda sehingga menyukarkan pergerakannya.
“Menyedari informasi sebegini amat penting, saya telah membangunkan portal berkenaan untuk bersama-sama berkongsi informasi tdengan golongan OKU yang lain. Saya yakin bahawa dunia maya membolehkan lebih ramai orang dapat mengakses maklumat tersebut.
“Melalui portal ini, saya cuba mengetengahkan beberapa kategori maklumat seperti pengangkutan, destinasi pelancongan, pusat beli-belah, agensi kerajaan, pusat pengajian, riadah dan kemudahan yang mesra golongan OKU,” jelas Say Leng.
Selain daripada itu, Timbalan Presiden Masyarakat Berdikari OKU Selangor itu menambah, di portalnya akan disediakan pilihan kategori mengikut negeri bagi memudahkan capaian pengguna di seluruh negara.
Bagaimanapun, katanya yang tidak mempunyai latar belakang dalam pembangunan laman web, disebabkan portal itu masih dalam proses penyusunan kandungan, informasi itu masih belum dikemas kini.
“Kami sangat mengalu-alukan maklum balas orang ramai untuk berkongsi maklumat terutamanya yang melibatkan kemudahan buat golongan OKU.
“Kami juga sedang mencari sukarelawan untuk menyalurkan maklumat berhubung hal-hal memperbaiki portal berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.
Kepentingan kemudahan
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Yayasan Untuk Orang Kelainan Upaya Beautiful Gates, Sia Siew Chin, berkata, portal yang dibangunkan tersebut boleh memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan kemudahan OKU.
“Dengan mempromosikan pelancongan boleh guna oleh semua pihak, kita berharap dapat mengubah persepsi bahawa kemudahan mesra OKU bukanlah satu pembaziran tetapi pelaburan.
“Pelancongan boleh guna oleh semua pihak tidak terhad kepada golongan minoriti seperti OKU tetapi ia juga boleh digunakan golongan warga emas,” katanya sambil menjelaskan bahawa semua orang akan meniti usia tua kelak.
Siew Chin menambah, masih ada pihak yang beranggapan bahawa usaha menawarkan kemudahan kepada golongan OKU adalah perbelanjaan tambahan yang tidak perlu dilakukan.
Dia yang pernah ditaja menjadi panel jemputan sebagai penceramah kehidupan positif di luar negara termasuk Korea Selatan dan Taiwan menjelaskan, kemudahan OKU merupakan satu pelaburan malah mampu menarik lebih ramai pengunjung OKU termasuk dari luar negara.
“Kita perlu fikir dari sudut pelaburan yang dapat memberikan keuntungan. Sebagai contoh, terdapat ramai pelancong luar negara terdiri daripada golongan OKU tetapi mereka ingin mengunjungi destinasi yang mesra OKU.
“Secara tidak langsung, kemudahan yang ditawarkan dapat menarik lebih ramai pelancong luar negara sekali gus meningkat ekonomi. Ia sama sekali tidak membebankan masyarakat ataupun negara,” ujarnya.
Katanya, dia sangat berharap akan lebih banyak pihak mengambil pertimbangan dalam menawarkan kemudahan mesra OKU untuk memastikan golongan tersebut dapat menjalani kehidupan berdikari.
- KOSMO!