Kesihatan Gigi - Amalkan berkumur, gosok dan flos gigi
TATKALA mata bertemu mata, hanya sekuntum senyuman menjadi penghubung komunikasi pertama. Tetapi senyuman manis yang ditawarkan itu tidak sempurna jika ia tidak datang bersama sepasang gigi yang cantik, bersih dan putih.
Bukan untuk tujuan kosmetik semata-mata, kesihatan gigi sebenarnya merupakan tunjang untuk kesihatan keseluruhan tubuh badan manusia. Walaupun ia jarang diberi keutamaan terutama sekali di dunia yang terlalu obses dengan kecantikan berasaskan kosmetik.
Bagi selebriti, penyanyi dan ahli perniagaan yang mula membina nama melalui Akademi Fantasia 4, Farhan Azizan, 28, kebersihan dan kecantikan gigi adalah penjagaan wajib bagi beliau. Bukan disebabkan dia merupakan seorang selebriti tetapi, penekanan terhadap penjagaan gigi dan mulut sudah pun mula diberi perhatian sejak kecil lagi.
Lepas makan terus gosok gigi
"Terima kasih kepada ibu yang banyak membimbing kami lima beradik. Beliau sangat tegas dalam hal menjaga dan membersihkan mulut. Tiap kali selepas makan, adalah menjadi amalan wajib untuk membersih mulut. Ibu juga tidak menggalakkan kami makan coklat sejak kecil," ujar Farhan tentang rejim penjagaan gigi dan mulutnya sejak kacil.
Sudah membiasakan diri menggosok gigi acap kali makan, sekurang-kurangnya empat kali dalam sehari, rejim Farhan tidak terhenti di situ sahaja.
Bahkan, obses beliau menjaga kesihatan gigi menyebabkan dia akan berjumpa dengan doktor gigi setiap bulan untuk melakukan scaling. Untuk sesi scaling setiap bulan itu dia memperuntukkan RM50.
"Saya tidak pernah ada apa-apa masalah gigi saya mahupun mulut. Jadi saya tidak pernah berjumpa doktor untuk apa-apa masalah, cuma mendapatkan nasihat semasa membuat scaling," katanya yang mengakui akan membawa ubat gigi dan berus gigi bersama-sama setiap masa.
Dalam pada itu, Farhan juga peka terhadap ubat gigi yang digunakan. Oleh itu, beliau menggunakan ubat gigi organik yang menggunakan kandungan utama iaitu daun mambu.
"Saya tidak gunakan flos sebab takut ia memberi kesan kepada gusi dan boleh merenggang gigi. Ia bukan tidak baik, tetapi mungkin saya tidak mahir menggunakan flos," katanya lagi yang ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.
Menariknya, disebabkan rejim gigi sihat yang diamalkan Farhan sehingga kini dia masih memiliki dua gigi susu.
Sementara itu menurut seorang doktor gigi, Dr. Mazleen Abdul Rahman dari Klinik Pergigian Dr. Leen di Kajang, Selangor, selain memberus gigi yang menjadi amalan wajib, flos gigi adalah satu lagi elemen paling penting penjagaan gigi yang perlu dipratikkan.
"Walaupun kita berkumur atau memberus gigi selepas makan tetapi, tahukan anda bahawa akan terdapat makanan tersekat di celah-celah gigi?" tanya beliau.
Katanya, flos tidak perlu dilakukan kerap tetapi apabila perlu sahaja. Namun, kerisauan ia akan menyebabkan gigi renggang atau gusi berdarah tidak berasas sekiranya ia dilakukan secara betul.
"Flos dengan lembut dan jangan tekan dalam. Flos yang salah boleh memudaratkan gusi. Saya biasanya akan meminta pesakit menunjukkan cara mereka flos gigi supaya ia tidak dilakukan secara salah," katanya lagi sambil memberitahu scaling secara kerap tidak memudaratkan gigi kerana ia tidak membabitkan gigi sebaliknya hanya menggunakan getaran ultrasonic untuk memecahkan karang gigi.
Namun, memberus gigi dipandang satu amalan wajib dan mesti dilakukan beberapa kali sehari kerana ia berfungsi memecahkan sekumpulan bakteria dan sisa makanan yang membentuk biofilm dan seterusnya akan membentuk satu lapisan keras di sekitar permukaan gigi dan gusi kita.
Apabila memberus gigi, ia akan memecahkan biofilm sebelum ia mula merebak. Plak dan karang gigi di permukaan gigi juga menjadi penyebab utama mulut berbau.
Ia juga boleh terhasil apabila seseorang itu tidak membersihkan lidah mereka. Bau mulut boleh diatasi dengan memastikan gigi dan lidah diberus dengan betul dan penggunaan ubat kumur.
Antara sebab lain mulut berbau ialah kekurangan air liur berpunca daripada penyakit atau pemakanan ubat.
Bagi mereka yang mempunyai masalah itu, mengunyah gula-gula getah atau menggunakan air liur gantian boleh menyelesaikan masalah itu.
Selain flos dan memberus mahupun berkumur Mazleen atau lebih mesra dengan panggilan Leen juga menggesa, supaya pemeriksaan gigi tetap dilakukan sekurang-kurangnya enam bulan sekali.
Ditanya mengenai kepercayaan gigi terlalu putih tidak berapa kuat, ujarnya tiada fahaman seperti itu.
Bagaimanapun, ada kepercayaan gigi kuning sedikit agak kuat kerana mempunyai lapisan dalam yang tebal malah, sebenarnya gigi manusia sedikit kekuningan.
Jelas beliau, berkumur mulut bukanlah wajib tetapi digalakkan sebagai rejim tambahan. Sebaiknya, pilihlah ubat kumur mulut bebas alkohol kerana ia boleh mengeringkan mulut selain mempunyai florida, antiplak, gliserin, garam dan bebas gula.
Jumpa doktor walau tidak sakit
Katanya, sikap berjumpa dengan doktor hanya apabila sakit menjadi punca mengapa perjumpaan dengan doktor gigi seringkali dilabelkan 'menakutkan'.
Malah, satu tinjauan membuktikan 50 peratus rakyat Malaysia bertindak mengunjungi doktor gigi hanya ketika mereka berdepan dengan masalah gigi.
Pada kebanyakan masa, pesakit lebih rela makan ubat gigi atau tahan sakit selama berbulan-bulan mahupun bertahun-tahun semata-mata kerana enggan berjumpa doktor qiqi.
Rakyat Malaysia sukar menyenaraikan pemeriksaan gigi sebagai satu prosedur kesihatan yang wajib seperti mana pemeriksaan kesihatan lain.
Jangan takutkan anak
ebih menyedihkan apabila, ada pula ibu bapa yang suka menakut-nakutkan anak bahawa jika membuat nakal akan dibawa jumpa doktor gigi untuk mencabut gigi.
Ugutan seperti itu sejak kecil menimbulkan sejenis ketakutan kepada kanak-kanak sejak kecil apabila mendengar perkataan doktor gigi.
"Perkara seperti ini telah menjadikan seseorang itu tidak berani berhadapan dengan doktor gigi. Ibu bapa perlu menghindari kenyataan menakutkan berkenaan doktor gigi.
"Mereka perlu melatih dan menjadi contoh baik dari segi menjaga kesihatan mulut, gigi mahupun membuat temujanji untuk pemeriksaan," demikian tambah Leen.
Apabila ditanya tentang kedatangan pesakit ke klinik beliau, beliau mengakui 80 peratus pesakit datang selepas sakit dan lazimnya untuk mencabut gigi, manakala 20 peratus lagi datang dengan kesedaran melakukan pemeriksaan.
Bercakap lanjut mengenai kos dan caj rawatan, Leen memberitahu, rawatan gigi sememangnya mahal tetapi, masih terkawal.
Katanya rawatan gigi banyak menggunakan material mahal, perlu dibersihkan berkali-kali atau bahan pakai buang. Semua itu bagi memastikan keselamatan dan tiada infeksi kelak.
- KOSMO!