Hanya 28% produk guna logo halal
Waspada dengan produk yang diiklankan di kaca televisyen.
Pengguna beragama Islam di negara ini perlu sedar bahawa bukan semua barangan makanan, minuman dan kegunaan yang sering diiklankan di kaca televisyen adalah halal.
Ini kerana kebanyakan produk yang diiklankan tersebut didapati tidak mempamerkan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau sekurang-kurangnya memaklumkan kepada pengguna tentang status barangan terbabit.
Hakikatnya, rata-rata persatuan pengguna dan ahli akademik sepakat menyifatkan pengguna di negara ini belum cukup bijak untuk menggunakan hak mereka sebagai pembeli.
Malah, kebarangkalian pengguna Islam untuk menyemak sendiri status halal produk yang diiklankan adalah rendah.
Hasil pemerhatian wartawan Unit Khas, Utusan Malaysia selama empat hari meliputi TV1, TV2, TV3 dan TV9 mendapati, sebanyak 82 produk iklan disiarkan meliputi makanan, minuman dan produk kegunaan harian.
Melalui empat saluran televisyen yang ditonton tersebut, hanya 23 produk atau 28 peratus mempamerkan logo halal Jakim dengan jelas.
Jika diperincikan pula, daripada keseluruhan 82 produk tersebut, separuh meliputi iklan makanan dan minuman, namun hanya 16 barangan atau 19.5 peratus sahaja menunjukkan logo halal Jakim.
Bagi barangan kegunaan, hanya tujuh produk (8.5 peratus) menyiarkan logo halal.
Berdasarkan pemerhatian itu juga, dikenal pasti sebanyak enam produk (tujuh peratus) hanya diketahui berstatus halal setelah meneliti pada bungkusannya semasa diiklankan.
Antara iklan yang memaparkan logo Jakim pada bungkusannya ialah produk Horlick, biskut Jacob dan coklat Cadbury Dairy Milk.
Selebihnya iaitu 65 peratus atau 53 produk makanan, minuman dan barangan gunaan diiklankan di kaca televisyen didapati tidak memberi maklumat jelas tentang statusnya kepada pengguna Islam di negara ini.
Ketiadaan akta yang boleh memantau perkara ini, secara tidak langsung membuka ruang kepada syarikat pengeluar untuk mempromosikan produk makanan dan minuman serta barangan kegunaan harian dalam kalangan pengguna Islam sewenang-wenangnya.
Buktinya, ada antara produk makanan tersebut yang dikenalpasti tidak mempunyai sijil halal Jakim tetapi diiklankan tanpa memaklumkan status produk tersebut kepada pengguna.
Lebih mengejutkan, didapati sekurang-kurangnya terdapat empat produk makanan dan minuman yang memaparkan simbol halal Jakim dengan jelas semasa diiklankan tetapi sebenarnya mempunyai status yang meragukan.
Setelah disemak pada direktori halal, menunjukkan tiada sebarang maklumat berkaitan produk makanan ringan berjenama terkenal itu.
Produk sos spageti jenama ‘P’ pula didapati tarikh pendaftarannya telah tamat tempoh sejak November lalu, namun masih menggunakan logo tersebut semasa pemerhatian dijalankan.
Persoalan halal atau haram sesuatu produk makanan dan minuman serta barangan kegunaan harian yang diiklankan di kaca televisyen terletak sepenuhnya kepada kepekaan dan tanggungjawab pengiklan untuk menyakinkan pengguna.
Justeru, mungkin sampai masanya pihak berkuasa mewajibkan setiap produk yang diiklankan di media massa terutama media elektronik memaparkan sama ada sesuatu barangan itu adalah halal atau sebaliknya.
Jakim teliti wajib pamer logo pengesahan halal di media
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedia meneliti cadangan supaya mewajibkan setiap produk makanan, minuman mahupun barangan kegunaan yang diiklankan di media massa terutama televisyen mempamerkan logo pengesahan halal.
Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal, Hakimah Mohd. Yusoff, biarpun Jakim belum mempunyai perancangan untuk mewajibkannya, namun cadangan tersebut akan dipertimbangkan demi kepentingan pengguna Islam di negara ini.
''Langkah mewajibkan setiap produk yang diiklankan mempamerkan logo halal Jakim tidak dinafikan dapat memberi keyakinan kepada pengguna Islam untuk menggunakan barangan yang benar-benar halal,'' katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Selaras dengan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Persijilan Halal baru-baru ini, kata Hakimah, semua syarikat pengeluar produk makanan, minuman atau barangan kegunaan harian yang telah mempunyai sijil halal, wajib menggunakan logo halal Jakim pada produk keluaran mereka.
"Secara tidak langsung, akta tersebut dapat membantu memberikan maklumat kepada pengguna Islam tentang status halal produk yang diiklankan di kaca televisyen itu," katanya.
Menurut Hakimah, sehingga kini, jabatan tersebut telah bekerjasama dengan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk memastikan setiap iklan yang menggunakan logo halal di kaca televisyen mempunyai sijil halal yang sah sebelum disiarkan.
Pada masa sama, katanya, Jakim dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kastam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memastikan setiap logo diiklankan adalah benar.
Dalam masa sama, jelas beliau, pihaknya terbuka menerima sebarang aduan daripada orang ramai sekiranya meragui status barangan yang diiklankan biarpun produk tersebut mempamerkan logo halal Jakim.
Selain melawati laman web Jakim di alamat www.halal.gov.my, orang ramai kini boleh menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaipkan HALAL SEMAK nombor pendaftaran syarikat dan hantar ke 15888.
- UTUSAN