Telefon Huawei Honor - Hayat bateri lebih lama
SYARIKAT pengeluar produk telekomunikasi mudah alih, Huawei Device Co. Ltd. terus merancakkan aktiviti pembangunan teknologi mereka menerusi pengenalan gajet telefon pintar terbaru, Huawei Honor.
Selain dipacu sistem operasi terkini iaitu Android 4.0 Ice Cream Sandwich, model tersebut turut disempurnakan bersama kelebihan paparan skrin sentuh dengan resolusi warna nyata 16M dan kualiti definisi tinggi (HD).
Kelebihan lainnya, ia ditampilkan pada sokongan kuasa bateri 1,930 mAh yang mampu bertahan selama dua hari menjadikan model selular itu sebagai telefon pintar dengan jangka hayat bateri paling lama bagi kategori skrin empat inci.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Huawei, Victor Xu, Huawei Honor dicipta dengan teknologi ringkas untuk memberi peluang kepada pengguna berkomunikasi secara mudah.
''Ia dilengkapi pakej spesifikasi pintar untuk tawaran pengalaman dan prestasi operasi lebih lancar.
''Ini kerana pengguna hari ini secara tanpa kompromi sentiasa mencari produk telefon pintar terbaik untuk membolehkan mereka berhubung, berhibur dan kelihatan bergaya,'' jelasnya.
Huawei Honor disempurnakan bersama pemproses 1.4 GHz, kamera belakang lapan megapiksel, mempunyai berat 140 gram serta ketebalan hanya 10.9 milimeter (mm)
Untuk paparan antara mukanya, ia dibangunkan secara eksklusif dengan fungsi dinamik untuk pengurusan operasi lebih unggul.
Malah, dengan kehadiran ciri Gyroscope, ia bakal menawarkan pengguna pengalaman aktiviti permainan video cukup menarik.
Menerusi aplikasi Digital Living Network Alliance (DLNA) pula, telefon berkenaan boleh diintegrasi bersama pelbagai peranti seperti kamera digital, permainan konsol dan televisyen selain membenarkan perkongsian foto, muzik dan video.
Huawei Honor kini telah berada di pasaran Malaysia dengan tawaran harga RM1,099. Maklumat lanjut mengenainya, sila layari www.huaweidevice.com
- UTUSAN