Interpol buru 37 rakyat Malaysia
Dalam tempoh tersebut, usaha menjejaki suspek yang dipercayai sudah menyusup ke luar negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Interpol menemui kesukaran kerana mereka yang diburu ini licik menyembunyikan diri dengan melakukan perubahan fizikal pada penampilan dan identiti bagi mengelak dikesan.
Suspek berusia antara 21 dan 69 tahun itu diburu kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan dan kegiatan penyeludupan dadah membabitkan nilai ratusan juta ringgit di negara ini dan juga luar negara seperti Indonesia, Brunei serta Amerika Syarikat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika ditemui Utusan Malaysia di Bangkok, Thailand baru-baru ini memberitahu, kebanyakan rakyat Malaysia yang dikehendaki oleh Interpol dikaitkan dengan kegiatan pengedaran dadah terutama wanita.
Bagaimanapun, katanya, bukan semua suspek dicari terlibat secara langsung sebagai pengedar tetapi mungkin diperlukan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan atau menjadi saksi perbicaraan kes di mahkamah.
"Senarai nama kelihatan banyak dan semakin meningkat setiap tahun. Ia juga bukan baru tetapi ada disenaraikan sejak lebih setahun lalu," katanya.
Ismail berkata, PDRM melihat kegiatan pengedaran dadah menggunakan wanita Malaysia khususnya melibatkan warga Afrika masih berlaku kerana sindiket berkenaan memang gemar menggunakan modus operandi itu sejak beberapa tahun lalu.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, pengedaran dadah berjaya dikurangkan dengan adanya kerjasama antara negara termasuk dengan Polis Thailand.
Ismail berkata, pada akhir tahun lalu misalnya, Polis Thailand berjaya menumpaskan dua kes cubaan menyeludup dadah ke Malaysia melalui negara itu membabitkan rampasan syabu seberat 45 kilogram dan dadah yang sama di Hatyai seberat 50 kilogram.
Sementara itu, sumber memberitahu, antara wanita yang termasuk namanya dalam senarai Interpol ialah Rohaniza Aladib, 33, yang disyaki terlibat dalam kes penipuan berbentuk skim pelaburan dalam syarikat rokok antarabangsa membabitkan mangsa dalam kalangan artis terkenal tanah air yang mencecah nilai RM400 juta.
"Suspek berasal dari Perak dipercayai masih bersembunyi di luar negara selepas memperdayakan beribu mangsa termasuk beberapa artis popular seperti Amy Search, Hattan dan Misha Omar pada sekitar 2008.
"Turut diburu ialah Tay Jennifer Siew Kiem, 50, yang disyaki terlibat dalam kes penipuan berjumlah lebih RM500 juta. Dia yang pernah terlibat dalam kes saman kumpulan RHB Bank berjumlah RM1.4 billion menjadi buruan Interpol sejak lebih dua tahun lalu," katanya.
Kata sumber, antara yang turut diburu Interpol ialah Micheal Soosai, 48, yang dikehendaki oleh PDRM kerana memalsukan kematiannya; Mukhtar Syed Kechik, 55, dikehendaki polis Amerika Syarikat kerana kes penipuan dan pinjaman wang serta Meng Diong Chee, 29, dicari polis Indonesia berkaitan kes dadah.
- UTUSAN