Kes penyakit Parkinson meningkat secara mendadak

Penyakit Parkinson, iaitu gangguan neurodegeneratif (kemerosotan saraf) merupakan ancaman yang membimbangkan berikutan peningkatan mendadak kesnya sejak kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Penyakit Gangguan Pergerakan Malaysia, Dr. Chew Nee Kong berkata, peningkatan pesakit daripada 30,000 pada beberapa tahun lalu kepada kira-kira 60,000 pada tahun lepas menunjukkan betapa ia perlu diambil perhatian.

Katanya, antara faktor utama peningkatan kes baru penyakit tersebut adalah sikap sambil lewa terhadap simptom-simptom Parkinson seperti terketar-ketar, pergerakan perlahan (bradykinesia) dan otot kaku yang disalah anggap sebagai normal bagi seseorang yang meningkat usianya.

"Ramai juga yang mengandaikan bahawa otot yang kaku atau kekurangan daya pergerakan adalah sebahagian daripada proses meniti hari tua, padahal semua ini simptom Parkinson.

"Namun, tanpa rawatan awal terhadap simptom ini, risiko seseorang itu menghidap Parkinson adalah lebih tinggi.

"Faktor kedua pula adalah stereotaip bahawa penyakit tersebut hanya akan menyerang warga emas, namun pesakit Parkinson termuda yang pernah dirawat di Malaysia sebenarnya berusia 23 tahun," katanya kepada pemberita pada Majlis Penerangan Berkenaan Parkinson di sini hari ini.

Majlis tersebut turut berjaya dicatatkan pada Malaysia Book of Records sebagai Perhimpunan Pesakit Parkinson Terbesar di Malaysia iaitu membabitkan lebih 100 pesakit dari seluruh negara.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman.

Dalam usaha menangani peningkatan tersebut, Dr. Lokman Hakim berkata, Kementerian Kesihatan telah meningkatkan bilangan doktor di 813 klinik kesihatan di seluruh negara.

Beliau berkata, sebanyak 519 doktor residen dan 185 pakar perubatan keluarga telah ditempatkan di klinik-klinik tersebut bagi mengesan kes-kes awal gangguan pergerakan.

Tambahnya, kementerian juga telah memperluaskan perkhidmatan pemulihan penyakit tersebut dari hospital ke klinik kesihatan berhampiran melalui pengenalan terhadap teknik perubatan, strategi dan peralatan terbaru.

"Saya berharap usaha daripada semua pihak dalam menyedarkan anggota masyarakat betapa bahayanya penyakit yang memberikan kesan terhadap minda pesakit, personaliti, gangguan tidur, masalah usus dan tekanan darah tinggi," ujarnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url