Ledakan fenomena New iPad
SAMA saja seperti sebelumnya, apa saja produk Apple yang dilancarkan, bagaikan suatu kewajipan peminat tegar Apple dan Steve Jobs beratur panjang untuk mendapatkannya.
Begitu juga dengan produk iPad terkini, yang dilancarkan dan dijual di beberapa negara sejak 16 Mac lalu di 10 negara iaitu United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jerman, Perancis, Switzerland, Hong Kong, Singapura, Australia dan Jepun (pelancaran di Malaysia belum ditentukan lagi).
Bilangan mereka yang memesan secara dalam talian pada 7 Mac lalu (walaupun produk belum berada di pasaran) amat memberangsangkan sehinggakan pihak Apple hanya dapat menghantarnya pada 19 Mac bagi mereka yang memesan lewat.
Memetik akhbar New York Times pada 12 Mac lalu, jurucakap Apple, Trudy Muller berkata, sambutan pelanggan terhadap iPad baru amat memberangsangkan.
"Pembelian berdasarkan siapa cepat dia dapat di kedai Apple dan kedai yang mengambil bahagian," katanya.
Malah menurut USA Today, pihak Apple telah mengehadkan tempahan dengan dua unit bagi setiap pembeli, malah pihaknya terpaksa menaik taraf laman webnya akibat terlalu ramai pengunjung.
Semuanya ekoran prapelancaran iPad baru pada 8 Mac lalu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook di Yerba Buena Center for the Arts, San Francisco, AS.
Walaupun prapelancaran tablet baru iPad adalah majlis tertutup dengan jemputan terhad dan tiada siaran langsung tetapi peminat Apple telah menunggu sejak awal pagi untuk mengetahui mengenai produk terbaru itu.
Bagi membezakannya dengan iPad (generasi pertama) dan iPad 2, ia hanya dipanggil iPad baru.
Walau apa pun namanya, peminat tegar Apple tentu saja tidak sabar-sabar mahu menyentuh produk terbaru ini bagi meneroka kelebihan yang ditawarkannya berbanding iPad 2 dan iPad generasi pertama.
- MINGGUAN MALAYSIA