Sejarah thumbdrive USB


Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN

KEHADIRANNYA sekitar awal tahun 2000 dahulu menimbulkan banyak persoalan di kalangan pengguna teknologi tentang apakah sebenarnya fungsi dan keunikan produk pemacu USB.

Ketika itu, tidak ramai yang menyedari bahawa gajet berkenaan mempunyai peranan cukup besar dalam membantu manusia melakukan kerja-kerja pengkomputeran harian.

Hari demi hari, inovasi yang lebih kenali sebagai thumbdrive itu semakin dilihat mampu memberi dimensi baru dalam operasi penyimpanan data mobiliti.

Secara teknikalnya, pemacu USB merupakan peranti simpanan atau storage ingatan kilat yang mengaplikasi pacuan teknologi antaramuka Bas Bersiri Universal (USB) bagi pelaksanaan fungsi membaca dan menulis pelbagai jenis fail.

Hanya perlu disambungkan kepada slot USB pada sesebuah komputer, pemacu tersebut akan dapat dikesan oleh sistem operasi sekali gus membenarkan pengguna menyimpan dan menghantar pelbagai dokumen yang mereka inginkan secara lebih pantas.

Apa yang menarik, ia mudah dikenali oleh kebanyakan sistem operasi komputer seperti Linux, Windows dan Mac OS X tanpa memerlukan sebarang proses konfigurasi.

Dengan kelebihannya yang bersaiz kecil, ringan dan mudah di bawa ke mana-mana, populariti pemacu USB meningkat dengan begitu cepat dan semakin digunakan secara meluas.

Tahun demi tahun, penggunaan pemacu USB dengan prestasi lebih stabil dengan kapasiti memori yang besar secara perlahan-lahan telah menggantikan keperluan cakera liut atau disket untuk tujuan simpanan maklumat.

Ini kerana, peranti disket yang hanya mempunyai ruang simpanan bersaiz 1.44 megabit (MB) - 44 kali lebih kecil berbanding memori minimum pemacu USB 64MB ketika itu.

Pembangunan teknologi pemacu USB pada peringkat awal hadir bersama versi 1.0 untuk kadar pemindahan data 1.5 megabit sesaat (Mbps), seterusnya versi 1.1 (12 Mbps), versi 2.0 (480 Mbps) dilancarkan tahun 2003 dan akhir sekali versi 3.0 dengan kelajuan 5 gigabit sesaat (Gbps) menjelang 2010.

Pada awal kemunculannya, ia tersedia bersama pilihan kapasiti memori binaan dalam 64MB, 128MB dan 256MB dengan harga ketika itu dijual dalam lingkungan RM100 hingga RM250 mengikut saiz memori.

Kini, pemacu USB boleh dibeli dengan harga yang lebih murah bersama tawaran storan minimum satu gigabit (GB), 4GB, 8GB dan yang terbesar 16GB.

Melihat binaan teknikalnya, pemacu USB dibangunkan daripada komponen papan litar kecil yang termuat dalam bekas plastik sebagai penyokong.

Litar kompak berkenaan akan dilengkapi komponen pengawal storan diperbuat daripada bahan semikonduktor dan pemproses mikro yang berfungsi menterjemahkan arahan komputer dalam bentuk blok sebelum disimpan ke dalam cip ingatan.

Bahagian kepala USB pula biasanya akan disediakan bersama penutup khas untuk mengelakkannya daripada mengalami kerosakan.

Kualiti dan kemampuan sesebuah pemacu USB biasanya akan dinilai berdasarkan parameter-parameter tertentu seperti kadar kelajuan pemindahan data serta sistem sekuritinya.

Jika mahu dibandingkan dengan medium simpanan data yang lain seperti cakera keras binaan luar serta cakera optik CD dan DVD, penggunaan pemacu USB dilihat lebih fleksibel dan mudah.

Ini kerana, untuk cakera keras, ia sangat mudah terdedah kepada risiko kerosakan akibat hentakan mekanikal selain sensitif terhadap habuk, calar dan magnet.

Bagaimana pun, cakera keras mempunyai kelebihan berupaya menyimpan data berkapasiti tinggi sehingga satu terabait (TB).

Bagi cakera optik cakera padat (CD), ia mempunyai kelemahan hanya berupaya menulis data dan tidak boleh memadamnya sementara untuk cakera padat digital (DVD), kosnya agak mahal.

Tambahan pula, untuk setiap pelaksanaan operasi menulis dan membaca pada cakera optik, ia memerlukan peralatan pemacu cakera dan perisian utiliti khas yang agak rumit.

Berbeza daripada pemacu USB yang hanya menggunakan slot USB sebagai medium sambungan, ia sangat mudah kerana port tersebut sememangnya terdapat di kebanyakan peranti pengkomputeran moden hari ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url