Harimau Malaya baham Sri Lanka 6-0
Lebih bermakna, ia kemenangan pertama untuk aksi berstatus A selepas tujuh perlawanan - seri bertemu Singapura, India dan Filipina serta tewas kepada Taiwan, Singapura, Australia dan India, dengan kali terakhir ia dicapai ketika menewaskan Taiwan 2-1 di Bukit Jalil, 29 Jun tahun lalu.
Namun jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal enggan dibuai keyakinan kerana baginya banyak lagi yang perlu dipertingkatkan sebelum tiga lagi aksi persahabatan menyusul - bertemu Filipina pada 1 Jun serta Singapura, 8 dan 12 Jun ini.
“Secara keseluruhan, kita beraksi baik tetapi perlu dipertingkatkan lagi dari segi rentak dan tempo permainan serta kombinasi pemain. Apa pun kemenangan ini penting untuk meningkatkan semula keyakinan pasukan.
“Memang pada 20 minit pertama, kita gagal beraksi agresif sebaliknya Sri Lanka cara permainannya mengejutkan. Tapi dua gol pada babak pertama memberi mereka tekanan dan gol ketiga mematahkan semangat mereka.
“Kita pula berjaya mengekalkan momentum dan terus menambah gol biarpun selepas saya melakukan beberapa pertukaran. Perkembangan sihat apabila pemain muda mampu beri cabaran kepada pemain senior,” kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan.
Skuad kebangsaan mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi dua jaringan Wan Zack pada minit ke-24 dan 26 sebelum gol ketiga dan keempat menyusul hasil sumbangan Hazwan pada minit ke-71 dan 81. Azamuddin menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-84 sebelum Hazwan melengkapkan hatrik menerusi tandukan pada minit ke-90.
- BERITA MINGGU