Juara Bintang RTM (BRTM) 2012


Peserta kelahiran negeri Pahang Darul Makmur, Aisha Masnamimi Safia@Shafie (Aisha) dinobatkan sebagai juara pertandingan akhir Bintang RTM (BRTM) 2012 pada malam Ahad.

Persembahan mantap dan penuh penghayatan Aisha, 23, menerusi lagu Kisah Hati nyanyian asal Alyah dan sebuah lagu baru ciptaan Omar K dan Slen berjudul Fantasia berjaya menambat hati enam juri profesional.

Malah sorakan para hadirin yang teruja dengan aksi persembahan menarik Aisha turut menggamatkan Auditorium Perdana, Angkasapuri tempat berlangsungnya BRTM 2012.

"Saya tidak menjangkakan berjaya menjadi juara kerana persaingan sengit daripada peserta lain tambahan pula pada awalnya saya memang tidak terpilih ke peringkat akhir.

"Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya," kata Aisha pada sidang akhbar selepas pertandingan akhir itu selesai.

Selain bergelar juara, Aisha juga turut menerima anugerah Bintang Paling Popular BRTM 2012 dan pemilihan adalah berdasarkan undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.

"Kemenangan menerusi sistem juri dan sms serentak cukup membuatkan saya terkejut namun berbesar hati dipilih dalam kedua-dua kategori itu," ujarnya.

Sementara itu, tempat kedua pula dimenangi oleh Fitri Hakim Omar Walid (Fitri), 19, sementara Mohd Hafsham Noordin (Hafsham), 25 merangkul tempat ketiga.

Kategori Persembahan Terbaik dimenangi oleh peserta dari Sarawak iaitu Christine Chua Yea En, 16, menerusi persembahan hebatnya menyampaikan lagu Sekilas Senyumanmu nyanyian Fauziah Latiff dan lagu ciptaan terbaru oleh Adnan Abu Hassan berjudul Cinta Semalaman.

Pada pertandingan itu, kesemua enam peserta diberikan dua tugasan iaitu menyanyikan lagu pilihan sendiri dan lagu baru yang dicipta khas untuk mereka.

Buat permulaan, single terbaru mereka itu akan dimainkan di semua stesen milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkuatkuasa hari ini (Isnin).

Enam juri profesional yang mengadili BRTM 2012 ialah Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Johari Salleh, Fransisca Peter, Syafie, Jenny Chin dan Sharon Paul.

Dalam sidang akhbar, menurut Mokhzani, pemberian markah adalah berdasarkan kawalan suara sebanyak 80 peratus; potensi (10 peratus); serta persembahan dan penampilan (10 peratus).

Lain-lain peserta yang membawakan lagu masing-masing termasuk Fitri dengan Cinta Bukan Pelangi dan Bila Resah; Hafsham (Kata Maaf dan Percayalah Sayang); Aree (Mencintaimu dan Inginku Miliki) dan Shazia (Cinta Adam dan Hawa dan Cinta Tanpa Mu).

Persembahan setiap peserta diiringi oleh Orkestra RTM.

Penyampai radio Nasional FM, Muazanazzudin Mohamed (Muaz) tampil bersama Linda Onn selaku pengacara bersama pertandingan akhir itu.

Pertandingan itu turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Azharina, Siti Sarah, Ramlah Ram dan Alyah.

Dalam perkembangan lain, sebagai juara BRTM 2012, Aisha membawa pulang sebuah kereta Cherry Tiggo, wang tunai RM20,000, rantai dan loket bernilai RM5,000, telefon pintar Samsung Galaxy Note, jam tangan Casio berserta trofi dan sijil.

Naib juara BRTM 2012, Fitri memperolehi wang tunai RM10,000, trofi dan sijil, rantai dan loket bernilai RM3,000, telefon pintar dan sebuah komputer riba dan jam tangan Casio.

Hafsham sebagai pemenang ketiga BRTM 2012 meraih wang tunai RM5,000, trofi dan sijil, barangan kemas bernilai RM2,000, telefon pintar Samsung S11 dan jam tangan Casio.

Untuk kategori Persembahan Terbaik, Christine mendapat pakej percutian ke Natasya Resort, Cameron Highlands, Limo Ride ke destinasi percutian bernilai RM5,000, barangan kemas berserta trofi dan sijil.

Aisha yang memenangi Bintang Paling Popular (undian SMS) turut membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil, sebentuk cincin dan pakej penginapan tajaan Asia Room.

Tiga pemenang saguhati mendapat wang tunai RM3,000, trofi dan sijil, telefon bimbit Samsung dan jam tangan Casio.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Maznah Rais menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Ini bermakna, Aisha telah mengikut jejak langkah Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Rohana Jalil, M. Rizal, Azharina Azhar dan Izwan Pilus menempa nama melalui program ini.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url