Top Ad 728x90

, , ,

Zakat Saham

Bersama Ustaz Hamizul Abdul Hamid,
Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau layari www.e-zakat.com.my dan http://blog.e-zakat.com.my untuk maklumat lanjut.

SOALAN:

SAYA membuat pinjaman sebanyak RM100,000 dari sebuah bank yang menawarkan pembelian saham amanah dari sebuah institusi dan tempoh matang bagi saya mendapat keseluruhan pinjaman beserta keuntungan atau dividen daripada saham berkenaan, adalah selepas 10 tahun. Tetapi, saya mengambil keputusan untuk keluar daripada saham berkenaan pada tahun yang kelima. Soalannya, adakah saya perlu mengeluarkan zakat saham berkenaan?

JAWAPAN:

SOALAN ini memang banyak diajukan oleh umat Islam. Ini kerana, memang ada pihak bank yang menawarkan pinjaman khusus kepada pelanggan agar mereka dapat membeli saham daripada pihak amanah saham tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu. Ramai umat Islam yang merebut peluang ini.

Oleh itu, demi menjawabnya, maka cuba kita perhatikan, adakah wang atau saham yang saudara miliki itu menepati syarat asas wajib zakat? Pertama, adakah pinjaman itu menepati syarak, misalnya tidak melibatkan riba? Jika ya, baharu wajib zakat. Kedua, adakah saham yang mahu dilaburkan itu juga menepati syarak? Jika ya, baharu boleh dikira untuk zakat sahamnya.

Kemudian, suka saya nyatakan bahawa maklumat yang saudara berikan di atas agak terhad. Maka, jawapan ini adalah berdasarkan kefahaman yang mampu saya garapkan daripada persoalan berkenaan.

Saudara ada menyatakan yang syarat semasa membuat pinjaman daripada bank berkenaan, maka wang dan segala pengembangan daripada pelaburan saham berkenaan hanya akan dimiliki selepas 10 tahun.

Maknanya, dalam tempoh kurang 10 tahun itu, adakah saudara boleh memiliki zat dan manfaat wang berkenaan tanpa halangan? Adakah tempoh 10 tahun itu hanya tempoh kematangan dan dalam tempoh sebelum 10 tahun, saudara masih boleh mengeluarkan saham dan keuntungannya?

Jika tidak boleh memilikinya, maka di sini tiada sempurna milik ke atas wang dan pelaburan saudara berkenaan, maka tidaklah wajib dizakatkan selagi mana ia belum habis tempoh matang selama 10 tahun berkenaan. Saudara tidak perlu pun mengqada mana-mana tahun yang tidak sempurna milik tersebut.

Tetapi, jika saudara masih boleh mengeluarkannya dalam mana-mana tahun sebelum mencapai tempoh matang 10 tahun, maka wajiblah saudara melunaskan zakat sahamnya pada setiap tahun berdasarkan jumlah saham yang telah saudara miliki secara sempurna milik (yakni jumlah unit saham yang telah dijelaskan X harga pasaran hujung tahun + keuntungan saham X 2.5 peratus > zakat) jika ia melebihi nisab.

Maka wajib jugalah saudara mengqadanya jika sebelum ini saudara tidak pernah pun mengeluarkan zakat sahamnya.

Perkara seterusnya, jika saudara mengambil keputusan untuk menamatkan pelaburan dalam tempoh lima tahun, persoalannya, adakah saudara bakal mendapatkan kesemua wang pinjaman berkenaan termasuklah pengembangan (dividen atau sebagainya) daripada saham atau tidak?

Katakanlah, dalam kes ini, saudara boleh menamatkannya dan saudara hanya mendapat hak ke atas sebahagian daripada pinjaman berkenaan. Katakanlah saudara telah menjelaskan sebanyak RM50,000 dan apabila saudara menarik diri daripada saham, maka saudara diberikan hak oleh bank berkenaan RM50,000 berkenaan yang menyamai 50,000 unit, maka nilai tersebut menjadi 'milikan sempurna' ke atas saudara.

Maka, wang RM50,000 yang menyamai 50,000 unit yang saudara peroleh itu hendaklah dikirakan sebagai zakat saham dengan dicampurkan segala pengembangannya di penghujung tahun (kiraan adalah sama seperti contoh di atas).

Contoh: 50,000 unit saham X nilai pasaran saham hujung tahun + dividen @ bonus X 2.5 peratus > zakat

Kaedah pengiraan zakat saham yang disimpan hingga ke penghujung tahun, mestilah melihat kepada nilai atau harga seunit saham di penghujungnya. Ia tidak dikenakan sebagai zakat simpanan ataupun zakat pendapatan; tetapi zakat saham kerana saham adalah sejenis pelaburan dan bersandarkan kepada kaedah 'urd tijarah (zakat perniagaan).

Kesimpulannya, saudara hendaklah melihat kepada aspek sempurna milik dalam menentukan, sama ada ia wajib dizakatkan atau tidak dan kirakanlah zakatnya sesuai dengan kaedah taksiran zakat saham yang telah disediakan. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati niat dan azam saudara untuk menunaikan zakat. Wallahua'lam.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90