Umat Islam digesa boikot produk Israel
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata usaha itu boleh dilaksanakan seluruh umat Islam bagi membuka mata Israel bahawa masyarakat dunia menolak segala bentuk kezaliman terhadap rakyat Palestin.
Kita mengecam sekeras-kerasnya kekejaman Israel ke atas penduduk Palestin. Kita bukan saja ambil kira faktor kemanusiaan dan keagamaan, tetapi hakikatnya manusia sejagat tak dapat menerima kekejaman. Kita harapkan pelaksanaan segala macam (tindakan) yang boleh mem-berikan tekanan terhadap Israel.
Tak kiralah jika ia pemulauan produk dikeluarkan Israel atau segala yang berkait dengan rejim itu supaya mereka sedar kekejaman menumpahkan darah di bumi Palestin adalah sesuatu yang tak wajar, katanya selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana di Hospital Yan, di Yan, Kedah.
Pada masa sama, Jamil turut meminta umat Islam di negara ini berganding bahu dengan mengimarahkan surau dan masjid, melakukan solat hajat memohon keselamatan rakyat Palestin kerana serangan udara itu hanya permulaan Israel yang dijangka melancarkan serangan darat nanti.
Serangan terbaru Israel yang digelar Operasi Pillar of Defence dilancarkan Rabu lalu atas alasan memburu pemimpin sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qasam serta lokasi strategik mereka, namun turut mengorbankan 19 penduduk Palestin termasuk enam kanak-kanak.
Kerajaan Malaysia menghantar surat bantahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak PBB mengambil tindakan tegas berhubung apa yang disifatkan tindakan ketenteraan tidak bertanggungjawab oleh Israel yang mensasarkan orang awam di Gaza.
- BERITA MINGGU