Lebih 10 juta rakyat akan terima Kad Diskaun 1Malaysia - KDR1M

Lebih 10 juta rakyat akan menerima Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia (KDR1M) yang akan menawarkan diskaun dari 10 hingga 50 peratus di kedai-kedai dan perkhidmatan terpilih di seluruh negara.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, sehingga kini lebih 4,500 peniaga bersetuju menawarkan diskaun itu untuk kegunaan semua lapisan masyarakat dan menjangka angka itu terus meningkat.

KDR1M merangkumi perkhidmatan perubatan klinik; restoran makanan & minuman; hotel penginapan; arena sukan & kecergasan; pemborong & runcit; taman tema tertutup & luar; pembinaan & hiasan dalaman; resort peranginan; pakaian & aksesori kenderaan; perlindungan insurans am dan sebagainya.

"Pada masa ini telah diwujudkan kad diskaun untuk polis, tentera dan siswa. Selepas ini kita akan keluarkan KDR1M, di mana lebih ramai rakyat Malaysia boleh menikmati diskaun apabila membeli barang keperluan mereka," katanya ketika merasmikan ibu pejabat baru Informasi Malaysia di No 30B, Jalan Diplomatik 3/1 Presint 15, hari ini.

Maglin berkata, KDR1M akan diurus oleh Informasi Malaysia iaitu sebuah agensi yang ditubuhkan pada 22 Oktober 2009 untuk menjalankan program dan aktiviti dalam usaha menerangkan objektif dan fungsi gagasan 1Malaysia melalui penerbitan Buletin Informasi Malaysia.

"Melalui transformasi nasional, kejayaan demi kejayaan telah dinikmati oleh semua golongan rakyat di negara ini." katanya.

Sementara itu, Pengerusi Informasi Malaysia, Datuk Abd. Rahman Manan berkata, KDR1M akan dilancarkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat selepas memperincikan pelaksanaan dan kriteria pemberian kad itu.

"Kami sudah mereka kad diskaun itu dan akan kemukakan kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan persetujuan," katanya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url