Makan percuma setiap hari untuk golongan gelandangan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata ia adalah kedai makan pertama seumpama diwujudkan dalam usaha membantu golongan sasaran yang kurang berkemampuan.
Katanya, sehingga kini lebih daripada 800 asnaf serta gelandangan mengunjungi kedai makan berkenaan setiap hari, membabitkan peruntukan RM1.2 juta untuk tempoh setahun.
“Dulu makanan ini diagihkan di sekitar masjid tiga kali seminggu, tetapi kini pendekatan itu diubah termasuk mewujudkan pendekatan berdakwah seperti solat berjemaah dan kuliah agama supaya mereka dapat mendengarnya ketika makan,” katanya ketika ditemui selepas perasmian kedai makan berkenaan, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Zainal Abidin Jaffar.
Kedai Makan Asnaf 1Malaysia itu adalah kerjasama antara MAIWP dan JAWI selain badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Taqwa serta Persekutuan Seruan Islam (Jami’yah) Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Ia dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 4 petang.
Jamil berkata, menerusi pendekatan seperti itu, beliau berharap agensi terbabit serta masyarakat akan menjadi lebih dekat serta tidak menyifatkan mereka hanya bertindak membabitkan penguasaan undang-undang semata-mata.
“Setakat ini Baitulmal MAIWP menyediakan 28 skim bantuan pelbagai kepada asnaf dan ini adalah skim ke-29 bagi memastikan golongan sasar terbabit mendapat hak dan pembelaan sewajarnya,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN