E-Sentral Portal e-Book Pertama di Malaysia



Penggunaan buku elektronik atau e-Book masih kurang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini memandangkan tidak ramai yang mahu mengambil inisiatif untuk mencubanya.

Buku elektronik merupakan sejenis medium penyampaian maklumat yang merujuk kepada penggunaan data elektronik sebagai buku, namun rakyat di negara ini dilihat lebih gemar membaca buku fizikal atas faktor kepuasan.

Begitupun, perkara itu tidak menghalang Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn. Bhd., Faiz Al-Shahab, 33, melancarkan laman web, portal www.e-sentral.com.my pada tahun lalu.

Portal berkenaan menawarkan pelbagai jenis buku dalam bentuk e-Book. Lebih menarik, bahan bacaan itu boleh dibaca terus menerusi telefon pintar dan komputer.

Mengulas lanjut mengenai e-Book, Faiz memberitahu, portal berkenaan menyediakan lebih 15,000 judul buku dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Perancis dan Sepanyol.

Namun, fokus utama portal tersebut adalah untuk mempromosikan buku tempatan.

Kebanyakan buku berkisar tentang perniagaan, biografi, komik, teknologi maklumat, novel cinta dan penyiasatan.

Kesemua buku itu pada asalnya merupakan buku yang dicetak oleh syarikat penerbitan tempatan selain bahan daripada penulis bebas.

Akses e-Sentral

Menyentuh mengenai cara untuk membaca buku-buku tersebut, anak jati Selangor itu memberitahu, pembaca perlu melayari laman web di www.e-sentral.com.my menerusi telefon pintar, tablet, komputer dan komputer riba.

Seterusnya, pengguna perlu mendaftarkan nama dan kata laluan. Sebaik selesai berbuat demikian, pengguna berkenaan boleh terus membuat pembelian buku.

Setelah membuat pilihan, pengguna akan dimaklumkan mengenai penerbit, saiz fail, kategori buku dan format selain sinopsis buku berkenaan.

Selain itu, pembaca akan ditanya sama ada mereka mahu membaca menerusi komputer, tablet, iPad, iPhone, atau Android.

Justeru, pembaca dikehendaki mengisi kata laluan dalam e-mel yang terkandung dalam gajet canggih. Sebaik selesai, pengguna akan dikehendaki mengisi semula nama pengguna dan kata laluan yang didaftarkan melalui portal itu.

"Tidak sampai tujuh minit, anda sudah boleh membaca judul buku yang dipilih menerusi telefon atau komputer," katanya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Cyberjaya, Selangor.

Malahan, pembaca akan diberikan beberapa judul buku secara percuma sebagai percubaan sebelum membuat pembelian namun, bukan semua judul buku.

 Sistem operasi

Mengenai sistem operasi, aplikasi e-Sentral menggunakan sistem operasi IOS, Android, Cloud dan komputer.

Beliau memberitahu, format operasi aplikasi tersebut ialah e-pub dan ia merupakan format yang berbeza.

Pada kebiasaan, format yang digunakan pada e-Book adalah dokumen mudah alih (PDF).

"Bagaimanapun, kita tidak menggunakan PDF kerana apabila aplikasi menggunakan format itu ia akan melambatkan kerja-kerja memuat turun sekali gus fail tersebut akan menjadi berat.

"Jadi, kami menggunakan format e-pub kerana ia bukan sahaja melindungi setiap e-Book daripada digodam, malah format tersebut lebih ringan berbanding PDF," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengguna tidak perlu risau mengenai langkah-langkah perlindungan pada aplikasi itu.

Seseorang pengguna boleh menggunakan tiga akaun berbeza pada tiga gajet berbeza milik mereka sama ada iPad, komputer atau telefon bimbit memandangkan ia menggunakan teknologi pengkomputeran awan atau lebih dikenali cloud computing.

Pelbagai aplikasi

Teknologi itu membenarkan pelbagai aplikasi dijalankan pada variasi jenis platform. Ia tidak lagi tertakluk kepada satu-satu sistem operasi tertentu sahaja.

Ia turut membolehkan pengguna menggunakan sesuatu perisian tanpa perlu melakukan instalasi pada komputer yang ingin digunakan.

"Pengguna cuma perlu menggunakan pelayar internet terkini bagi mengakses e-Book," ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai harga, bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, ia dijual pada harga yang murah berbanding buku yang dicetak.

"Kami menjual buku serendah RM2.99 tetapi ia mengikut bab-bab dalam buku itu iaitu setiap bab dijual berasingan.

"Malah, kami juga menjual buku yang berharga RM5. Ia seperti buku cerita yang tidak mengandungi bab," jelasnya sambil memberitahu pihaknya menjual buku dari harga RM2.99 sehingga RM30.

Harga rendah

Buku-buku dijual pada harga rendah disebabkan ia tidak memerlukan kos pencetakan dan pemasaran.

Walaupun ditawarkan pada kos murah, beliau mengakui hanya sekitar 30 peratus pembaca yang berminat terhadap e-Book dan selebihnya masih lagi mengamalkan buku fizikal.

Hakikatnya, peratusan itu menunjukkan rakyat Malaysia tidak menyedari kewujudan dan kecanggihan teknologi e-Book.

"Banyak kelebihan menggunakan e-Book, antara yang menarik contohnya, anda boleh mengeluarkan penanda buku atau bookmark yang membenarkan pengguna terus kepada muka surat yang ditandai apabila membuka buku tersebut," ujarnya lagi sambil memberitahu, pembaca kini tidak perlu lagi berulang-alik ke kedai buku untuk mendapatkan bahan bacaan.

Bukan itu sahaja, jika pengguna ingin membeli buku berkaitan senaman, menerusi e-Book pembaca boleh melihat cara bersenam secara realistik berbanding buku fizikal yang hanya meletakkan gambar mengikut turutan langkah.

Lebih menarik, portal itu memberi peluang kepada penulis-penulis bebas untuk menghasilkan karya mereka melalui e-Book.

Penulis bebas tidak perlu mengeluarkan modal untuk pencetakan.

Langkah itu dilihat salah satu cara untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang penulisan untuk dipromosikan melalui portal tersebut.

- KOSMO!

http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm

 
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url