Final Bolasepak Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam
Ia ekoran penutupan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi kerja-kerja baik pulih yang akan bermula Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah mengesahkan venue perlawanan akhir itu selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan di Wisma FAM, hari ini.
"Oleh kerana perkembangan terbaru mengenai keadaan padang, kami telah mengadakan perbincangan sekali lagi dengan Lembaga Stadium Malaysia untuk mendapatkan penjelasan yang terkini daripada mereka mengenai penggunaan Stadium tersebut.
"Kita juga telah dimaklumkan bahawa Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) juga telah mengeluarkan arahan agar stadium ini ditutup segera bagi pembaik pulih keseluruhan stadium dan kerja-kerja tersebut akan bermula pada penghujung Oktober ataupun awal November dan tempoh penutupan ini dijangka mengambil masa selama enam bulan.
"Berdasarkan tempoh itu, kita tidak dapat untuk guna Stadium Bukit Jalil sekurang-kurangnya Jun depan dan ini bermakna beberapa perlawanan yang terlibat di sini terpaksa ditukar ke Stadium Shah Alam, dan sehubungan itu kami membuat keputusan perlawanan akhir Piala Malaysia akan berlangsung di Stadium Shah Alam," kata Afandi.
Afandi juga memberitahu selain aksi final Piala Malaysia, perlawanan melibatkan Harimau Malaysa bertemu Bahrain dan Qatar bagi saingan Kelayakan Piala Asia turut dijangka akan berlangsung di Stadium Shah Alam.
"Keputusan ini dibuat lebih awal bagi memastikan tidak ada timbul sebarang masalah selepas ini," ujarnya.
- SINAR HARIAN