Rombakan Kabinet 2016: Noh Omar Dilantik Menteri Di KPKT
Rombakan Kabinet pada Isnin, 27 Jun 2016 menyaksikan penyusunan semula 10 portfolio melibatkan empat menteri dan enam timbalan menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu pada sidang media khas di Jabatan Perdana Menteri.
Penyusunan semula itu menyaksikan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Noh Omar dilantik semula dalam Kabinet sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pula memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan atas sebab peribadi, dan jawatan itu diganti oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani.
Najib berkata, rombakan Kabinet kali ini adalah bagi mengisi kekosongan menteri dan timbalan menteri Persekutuan.
"Ini akan mengukuhkan lagi pentadbiran sedia ada bagi memastikan agenda pembangunan kerajaan untuk rakyat iaitu pembangunan ekonomi, kebajikan dan keselamatan, terus berjalan dengan baik sebagaimana yang dijanjikan.
"Saya juga ingin memaklumkan akan ada penyusunan semula tugas Menteri-Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri," jelasnya.
Dalam pengumuman itu Najib berkata, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk Unit Perancang Ekonomi.
Kekosongan jawatan itu berikutan keputusan Tan Sri Abdul Wahid Omar untuk tidak melanjutkan perkhidmatannya sebagai senator.
Abdul Rahman sebelum ini merupakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Jawatan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pula diisi oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong.
Perlantikan beliau bagi menggantikan Ahli Parlimen Betong, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang melepaskan jawatan tersebut selepas dilantik menjadi timbalan ketua menteri Sarawak, susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Mei lalu.
Siew Keong sebelum ini merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Bagi jawatan timbalan menteri, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong dilantik menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Beliau mengisi kekosongan jawatan itu selepas Datuk Seri Ahmad Bashah dilantik sebagai menteri besar Kedah.
Ahli Parlimen Silam, Datuk Nasrun Mansur pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Nasrun menggantikan Tan Sri Noriah Kasnon yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak, Mei lalu.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong masing-masing bertukar portfolio.
Tee Yong yang merupakan Ahli Parlimen Labis kini dilantik sebagai Timbalan Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala Chee Leong yang juga Ahli Parlimen Kampar kini sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Selain Chee Leong, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz turut dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S.K Devamany pula dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Rombakan Kabinet yang terakhir diadakan pada Ogos tahun lalu yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal digugurkan dari Kabinet.
- mSTAR