Top Ad 728x90

Pengeluaran KWSP Untuk Pendidikan Naik Mendadak


Platform dalam talian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merangkumi i-Akaun, kiosk KWSP dan myEPF, terus menjadi mod transkasi pilihan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, KWSP berkata, prestasi operasi 2016 suku keduanya menyaksikan penggunaan i-Akaun setakat Jun tahun ini meningkat 44.26 peratus kepada 4.81 juta berbanding 3.33 juta pada suku kedua 2015.

Jumlah penggunaan Kios KWSP ketika suku di bawah kajian meningkat 25.87 peratus kepada 3.47 juta berbanding 2.75 juta sebelum ini.

Penggunaan kemudahan dalam talian e-Pengeluaran melonjak selepas ia diperluas untuk memasukkan permohonan bagi pengeluaran pendidikan dan kesihatan pada April, di samping pengeluaran untuk perumahan, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, perkhidmatan KWSP telah berubah pesat bagi disesuaikan dengan masa dan harapan ahlinya.

"Kemudahan e-Pengeluaran adalah bahagian perniagaan dan transaksi yang berkembang kerana ia menawarkan lebih banyak kemudahan kepada ahli mengemukakan permohonan pengeluaran mereka.

"Bank yang terlibat dalam e-Pengeluaran telah juga melaporkan pengurangan besar dalam masa yang diambil serta meningkatkan produktiviti harian," katanya.

Bank yang menyertai e-Pengeluaran pada masa ini termasuk Maybank, RHB Bank, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional, OCBC Bank, Ambank, UOB Bank dan CIMB Bank.

Shahril Ridza berkata, KWSP berusaha untuk menambah bilangan bank yang terlibat dalam e-Pengeluaran bagi membolehkan lebih ramai ahli mendapat manfaat daripada kemudahan dalam talian itu.

Setakat akhir Jun 2016, e-Pengeluaran telah meluluskan 18,707 permohonan untuk pengeluaran pendidikan sejak kemudahan dalam talian itu diperkenal April lepas.

"Keseluruhan permohonan diluluskan untuk pengeluaran pendidikan pada suku kedua 2016 menyaksikan peningkatan mendadak 200.43 peratus kepada 60,931 melibatkan RM370.39 juta berbanding 20,281 permohonan yang diluluskan bernilai RM96.86 juta pada tahun sebelumnya," katanya.

Shahril Ridza berkata, jumlah pemohon untuk pengeluaran simpanan persaraan secara berperingkat juga meningkat berikutan peningkatan kesedaran di kalangan ahli yang mengiktiraf manfaat menyimpan untuk tempoh lebih panjang di samping memperoleh dividen tahunan.

Suku di bawah kajian menyaksikan kenaikan 12.64 peratus dalam permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 55 kepada 91,111 daripada 80,890 dalam tempoh yang sama pada 2015.

Jumlah yang dikeluarkan di bawah skim itu ialah RM2.70 bilion berbanding RM3.12 bilion pada suku kedua 2015, katanya.

"Sebaliknya, jumlah permohonan dilulus untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 pada suku kedua 2016 jatuh 8.56 peratus kepada 54,946 berbanding 60,087 permohonan tahun lalu," katanya.

Sementara itu, jumlah permohonan dilulus untuk pengeluaran perumahan turun kepada 111,169 pada suku kedua 2016 melibatkan RM1.62 bilion, berbanding 111,898 pada suku kedua 2015.

Keseluruhannya, jumlah ahli KWSP meningkat 3.05 peratus kepada 14.80 juta (suku kedua 2016) berbanding 14.38 juta (suku kedua 2015), di mana 6.85 juta atau 46.33 peratus adalah ahli aktif.

Jumlah majikan yang baru mendaftar pada suku di bawah kajian merosot 19.17 peratus daripada 18,903 (suku kedua 2015) kepada 15,279 pada suku kedua 2016, menjadikan majikan setakat 30 Jun 2016 berjumlah 539,291.

Sehingga akhir Jun 2016, kadar majikan ingkar adalah stabil pada 1.10 peratus, katanya.

"Seiring dengan pertambahan ahli, komitmen kami juga meningkat untuk memberi perkhidmatan yang lebih cepat, mudah dan menjimatkan kos dan kami menggalakkan lebih ramai ahli mendaftar untuk i-Akaun bagi memanfaatkan kemudahan berkenaan.

"i-Akaun juga membolehkan ahli memastikan majikan mereka mencarum bagi pihak mereka secara tetap dan tepat pada masanya," tambah beliau.

- Bernama

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90