3A, 3B syarat minimum masuk SBP

Kementerian Pendidikan menetapkan syarat baharu minimum tiga A dan tiga B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi kemasukan pelajar ke tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamed Yusof, berkata perubahan syarat itu dibuat berdasarkan pelaksanaan kurikulum dan format peperiksaan baharu bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016. 

"Bagaimanapun, kedudukan pemilihan dan penetapan murid di SBP tidak bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata kerana kita juga akan mengambil kira skor merit akademik serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). 

"Malah, pentaksiran sekolah dan pentaksiran psikometrik juga akan dijadikan sebagai rujukan utama dalam saringan pemilihan murid ke SBP," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan dan Microsoft Malaysia (Microsoft), di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan; Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad.

Alias menurunkan tandatangan bagi pihak Kementerian Pendidikan manakala Microsoft diwakili Pengarah Urusannya, K Raman, dalam MoU bertujuan menyokong pendidikan serta pembelajaran berteraskan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT).

Khair berkata, kementerian juga akan mengambil kira komponen Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Psikometrik (Ppsi) yang terletak di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi mengisi 9,000 tempat di 69 SBP seluruh negara.

"Sehingga kini, kita sudah menerima kira-kira 60,000 permohonan atas talian bagi kemasukan tingkatan satu ke SBP bagi tahun depan," katanya.

Sumber : Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url