Top Ad 728x90

,

Nama Malaysia mula diguna sebelum merdeka






Penggunaan nama Malaysia bagi merujuk kepada negara ini telah mula digunakan sejak 120 tahun lalu iaitu pada 1889 dan bukannya pada 1929 seperti yang direkodkan di Arkib Negeri Sabah.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Prof. Madya Mat Zin Mat Kib berkata, penggunaan nama Malaysia itu direkodkan dalam akhbar The British North Borneo Herald (BNBH) bertarikh 1 Januari 1889.

''Penemuan laporan bertajuk Geographical Notes in Malaysia and Asia yang ditulis oleh J.E Tenison-Woods ini membetulkan kajian awal yang dibuat oleh pihak arkib negeri Sabah bahawa perkataan Malaysia digunakan pada 1 Julai 1929 oleh akhbar yang sama," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, laporan yang dibuat J.E Tenison itu memberikan maklumat ringkas mengenai catatan perjalanannya ke Semenanjung Tanah Melayu, Labuan, Brunei, Sandakan dan kunjungannya ke Sulu sekitar 1883 hingga 1886.

Beliau yang telah mula membuat kajian sejarah negara sejak 1984, penemuan ini adalah penting bagi memberikan maklumat sejarah yang tepat kepada generasi muda.

''Penemuan itu membuktikan nama Malaysia digunakan lebih awal dari tarikh kemerdekaan dan pembentukan negara Malaysia malah menunjukkan ia digunakan dengan meluas oleh orientalis barat bagi merujuk kawasan Semenanjung Tanah Melayu.

''Penemuan ini juga sekali gus merangsang para sejarawan untuk mengkaji lebih mendalam lagi mengenai kewujudan nama Malaysia dalam sejarah negara,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Arkib Negeri Sabah, Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai penemuan itu baru-baru ini dan mempunyai salinan asal akhbar berkenaan.

''Mat Zin yang menjalankan kajian di sini telah memaklumkan mengenai penemuan baru dalam BNBH yang disimpan di arkib negeri Sabah dan kita juga telah mengesahkannya.

''Kita amat mengalu-alukan penemuan terbaru ini selepas penemuan lama yang ditemui seorang penyelidik daripada Universiti Malaya yang turut membuat penyelidikan di sini,'' katanya.

Tambahnya, pada masa ini Arkib Negeri Sabah ada menyimpan koleksi BNBH yang mula diterbitkan dari 1883 hingga 1941.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90