Aplikasi telefon pintar e-Taib mudahkan jemaah haji



Jemaah haji Malaysia mungkin antara jemaah paling beruntung di dunia kerana Tabung Haji sentiasa mencari jalan bagaimana untuk memudahkan urusan mereka menunaikan rukun Islam kelima.

Bermula dari tanah air dengan penganjuran pelbagai kursus kefahaman dan praktikal ibadah, menguruskan pengangkutan, penginapan dan sajian makanan, pelaksanaan ibadat dan kini memastikan mereka sentiasa bermaklumat.

Jika ada kemusykilan agama, boleh bertanya secara terus kepada pembimbing melalui Talian Bimbingan Ibadah (Taib) atau aplikasi e-Taib menggunakan WhatsApp yang baharu sahaja dilancarkan minggu lepas.

Semalam, Tabung Haji melancarkan satu lagi aplikasi yang banyak boleh membantu jemaah dikenali sebagai Aplikasi Jemaah 1440H yang dibangunkan oleh anak syarikatnya, Theta Edge Berhad.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, melalui aplikasi itu, semua maklumat disediakan termasuk berita terkini, perjalanan jemaah, bahan-bahan bimbingan, waktu solat, tempat-tempat ziarah dan mencari lokasi.

“Aplikasi mencari lokasi digabungkan aplikasi Google Maps yang akan memudahkan jemaah mencari pulang ke penginapan jika mereka tersesat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi itu di sini semalam.

Beliau berkata, melalui Google Maps, aplikasi itu juga mampu menunjukkan gambar satelit lokasi di mana jemaah berada secara bergambar dan memudahkan proses mereka mencari arah ke tempat yang dituju seperti hotel, masjid atau tempat beli belah.

Jemaah boleh memuat turun aplikasi berasaskan Android itu di Play Store atau mengimbas QR Code disediakan dan kemudiannya mengimbas kod bar di lencana mereka untuk mendapat maklumat khusus mengenai jadual perjalanan dan penerbangan mereka.

Dalam majlis sama, Syed Saleh turut menerima sumbangan daripada jemaah haji Maktab 82 yang telah mengumpulkan dana bagi membeli 11 kerusi roda untuk kegunaan jemaah haji yang memerlukan.

Menurut seorang jemaah, Mohd. Fahrur Ariffin Amran, 30, , aplikasi itu memudahkannya menyemak panduan ibadah haji dengan pantas tanpa perlu membawa dan membuka buku atau nota kursus.

- UTUSAN 
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url