Skrin paparan produk Apple
Peranti keluaran Apple tidak perlu diperkenalkan lagi, malah menjadi antara peranti mudah alih paling popular di dunia kerana sering menawarkan kestabilan prestasi termasuk ciri yang mesra pengguna.
Baru-baru ini, Apple mengesahkan bahawa skrin paparan peranti terbaharu mereka iaitu iPhone 11 Pro Max adalah skrin terbaik yang pernah dihasilkan oleh syarikat gergasi berkenaan.
Penilaian DisplayMate juga meletakkan skrin peranti itu dalam kelas A+ sekali gus meletakkan model terbaharu itu di tangga pertama mengatasi beberapa pencabar.
Pencabar terdekat iPhone 11 Pro Max adalah Samsung Note 10+ dan OnePlus 7 Pro. Ini membuktikan produk keluaran Apple sukar untuk ditandingi dalam aspek kualiti serta prestasi.
Berdasarkan ulasan DisplayMate, Apple sentiasa meningkatkan kualiti gambar serta ketepatan warna pada paparan mereka dan faktor itu menjadi penentu kepada keupayaan produk baharu syarikat itu.
Peranti iPhone 11 Pro Max secara keseluruhannya mencapai rekod yang sangat baik daripada aspek prestasi paparan dan kesempurnaan, malah jauh lebih baik berbanding telefon pintar sedia ada.
Prestasi itu juga lebih baik jika dibandingkan dengan sistem televisyen 4K Ultra Definisi Tinggi (UHD), tablet atau sebarang peranti lain.
Rekod kecerahan peranti itu juga adalah yang tertinggi bagi keseluruhan skrin iaitu pada bacaan 770 nits dan 820 nits untuk tahap purata bagi gambar biasa.
Keupayaan peranti iPhone 11 Pro Max memperlihatkan kesungguhan Apple untuk menghasilkan produk yang terbaik dalam kelasnya.
Penilaian itu juga adalah berita gembira kepada pemilik peranti berkenaan kerana mereka memiliki telefon pintar yang mempunyai prestasi terbaik pernah ada di pasaran.
- Metro