Lebih 17,000 dapat kerja menerusi MyFutureJobs
Seramai 17,336 orang berjaya mendapat pekerjaan melalui portal MyFutureJobs, setakat Selasa lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata inisiatif sedemikian akan dipergiat untuk penempatan pekerjaan rakyat tempatan, khususnya yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Katanya, program perkhidmatan pekerjaan akan tetap dilaksanakan secara dalam talian, meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa.
"Ini termasuklah 14 karnival PenjanaKerjaya, 660 sesi temuduga terbuka seluruh negara, 180 sesi temu duga dalam talian dan 200 sesi webinar pekerjaan.
"Menerusi inisiatif PenjanaKerjaya, kementerian akan meningkatkan kerjasama dengan industri bagi memastikan latihan yang dilaksanakan selari keperluan industri.
"Strategi ini untuk mengatasi isu ketidaksepadanan dalam penawaran dan permintaan pekerjaan, meningkatkan peluang pekerjaan serta kebolehpasaran dalam kalangan pencari kerja tempatan.
"Ia turut meliputi kerjasama strategik bersama 35 agensi pekerjaan swasta untuk meningkatkan penempatan pekerjaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Saravanan berkata, pihaknya akan memperluas program mengasah semula dan meningkatkan kemahiran melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad, dengan kerjasama agensi naungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Katanya, ini juga merangkumi penyertaan peneraju sektor swasta seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) serta Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan (SEDIA).
"Antara fokus Pasukan Petugas Khas Keusahawanan dan Sumber Manusia ialah jaringan keselamatan sosial untuk golongan pekerja bukan rasmi.
"Bagi tujuan itu, kementerian melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan mempergiat kerjasama bersepadu dengan kementerian, agensi, dan jabatan lain dalam menggalakkan lebih ramai pekerja bukan rasmi untuk mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri seperti melalui pelantikan ejen.
"Kementerian Sumber Manusia sentiasa akan memberikan kerjasama dan komitmen penuh dalam memastikan aspirasi kerajaan untuk menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan melalui inisiatif-inisiatif yang digariskan dapat direalisasikan," katanya.
Sumber : Berita Harian