Scha dan Awal timang anak perempuan
Pelakon, Scha Alyahya, 38, selamat melahirkan bayi perempuan di Pusat Perubatan Prince Court, jam 9.15 pagi Khamis.
Menerusi entri Instagram (IG) Scha dan suaminya, Awal Ashaari, pasangan itu meluahkan perasaan syukur semuanya dalam keadaan baik.
"Kami sekeluarga memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT atas kelahiran cahaya mata kedua, hari ini.
"Bayi perempuan seberat 3.2 kilogram selamat dilahirkan tepat jam 9.15 minit pagi di Pusat Perubatan Prince Court.
"Ibu dan bayi dalam keadaan baik dan masih berehat, buat masa ini. Kami memohon maaf kerana kerana tidak dapat menerima pelawat disebabkan SOP yang ditetapkan," katanya.
Pasangan ini juga turut meluahkan penghargaan atas doa dan sokongan orang ramai.
Dalam pada itu, Scha dan Awal turut menamakan anak kedua mereka sebagai Baby L.
"Kami bersyukur atas amanat ini dan berterima kasih atas doa serta sokongan yang diberikan kepada Scha, Awal dan Lara sekeluarga.
"Kami dijangka pulang ke rumah dalam masa beberapa hari dan insya-Allah, kami akan berkongsi perkhabaran gembira dengan anda semua kelak.
"Jaga diri dan selamat datang ke dunia Baby L," katanya.
Scha dan Awal mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan cahaya mata, Lara Alana yang kini berusia tujuh tahun.
Sumber : Berita Harian