Undi 18 tahun dilaksana tahun depan - SPR
Pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.
Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.
"Justeru, pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 apabila menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal SPR.
"SPR komited dengan pelaksanaan kedua-dua perkara itu seperti diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), menjelang 2023 berpandukan Perkara 55(3) Perlembagaan.
"Persiapan ke arah pelaksanaan itu masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya, termasuk gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan lain yang berkaitan dengannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pemimpin parti dari sayap pemuda termasuk Pemuda UMNO, MCA, PKR, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan Pemuda DAP menuntut kerajaan menyatakan pendirian mengenai status undi 18 tahun.
Ia susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang mendakwa negara belum bersedia melaksanakan dasar undi 18 tahun.
Sementara itu, berdasarkan rekod terkini SPR, Abdul Ghani berkata, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas ialah seramai 5.6 juta orang dan 1.2 juta daripadanya berusia antara 18 hingga 20 tahun.
Katanya, individu berusia 21 tahun dan ke atas yang layak mengundi tetapi belum membuat pendaftaran sebagai pemilih pula seramai 4.4 juta orang.
"Oleh itu, SPR menggesa rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas ini segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri atau pejabat pos berdekatan.
"SPR akan melancarkan sistem semakan pra-pendaftaran automatik melalui portal SPR pada Ogos ini, bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka.
"Kita juga sedang menyediakan satu laporan interim berhubung pendaftaran pemilih automatik dan undi 18. Ia dijangka dikeluarkan pada September depan," katanya.