Tasik Biru New Zealand disahkan tasik air tawar paling jernih di dunia

 

Rotomairewhenua yang juga dikenali sebagai Tasik Biru di Taman Tasik Nasional Nelson, New Zealand secara rasminya merupakan tasik air tawar paling jernih di dunia, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.

Air Tasik Biru mengalir dari  Tasik Constance yang terletak di sebelahnya dan aliran air tersebut melalui serpihan empangan yang terhasil sejak sekian lama akibat tanah runtuh.

Empangan itu bertindak sebagai penapis semula jadi yang menapis zarah-zarah, menjadikan Tasik Biru hampir sejernih air suling.

Institut Penyelidikan Air dan Atmosfera Nasional New Zealand (NIWA) melakukan ujian saintifik terhadap air tasik itu dan mengesahkanya sebagai air tawar semula jadi yang paling jernih diketahui manusia.

Ahli hidrologi NIWA, Rob Merrilees merupakan individu pertama yang menemui ciri-ciri mengagumkan pada Tasik Biru yang dibandingkan dengan mata air tawar Te Waikoropupu.

Semasa lawatannya ke Tasik Biru pada 2009, dia menyedari bahawa air tasik itu lebih jernih berbanding Te Waikoropupu dan perkara tersebut disahkan oleh ujian NIWA dua tahun kemudian.

“Kami menggantung cakera hitam berdiameter satu meter di bawah pelampung dan berlabuh ke pantai. Kemudian kami mendayung sampan sambil melihat cakera itu.

“Jarak di mana ia hilang sepenuhnya memberikan kadar kejernihan air itu, ”jelas pegawai NIWA, Mark Gall.

Kajian menunjukkan bahawa jarak penglihatan di Tasik Biru adalah antara 70 hingga 80 meter yang menjadikannya hampir sama optiknya dengan air suling. 

 Sumber : Agensi

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url