PEJUANG tewas teruk PRU15, Tun M mahu tulis buku

 


Pengerusi Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad, akhirnya membuka mulut menyatakan kesedihan beliau apabila partinya itu tewas.

Pengerusi Penaja parti Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, sebagai pengerusi PEJUANG, beliau sedih dengan keputusan itu, namun tetap menerima pilihan rakyat.

"Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang mengganti GTA kalah dalam PRU15. Saya sebagai Pengerusi PEJUANG sedih, tetapi saya terima pilihan rakyat.

"Saya harap pihak yang menang akan mendirikan kerajaan Malaysia," katanya dalam catatan pertama selepas PRU15.

Pada PRU15 Sabtu lalu, GTA yang bertanding menggunakan logo PEJUANG gagal mendapat sebarang kerusi meskipun meletakkan calon di 125 kerusi.

Mahathir sendiri kalah teruk di tangan calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 13,518 undi, malah bekas Perdana Menteri itu juga hilang wang deposit apabila sekadar meraih 4,566 undi.

Anaknya, yang juga Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta calon Gerakan Tanah Air lain juga mengalami kekalahan teruk, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada parti itu akan terus bertahan sebagai entiti politik selepas PRU15.

Dr Mahathir mengakui kekalahan PEJUANG di semua 125 kawasan ditandinginya bermakna parti itu tidak dapat berperanan sebagai pembangkang dalam Dewan Rakyat.

Justeru, beliau berkata, segala perancangan diatur PEJUANG untuk negara terpaksa digugurkan dan parti itu akan menyokong pemerintahan yang menang.

"PEJUANG berdoa siapa juga yang menjadi kerajaan akan dapat memulihkan segala masalah yang akan dihadapi oleh negara.

"Saya sendiri akan tumpu kepada penulisan berkenaan sejarah dan aktiviti dalam negara.

"Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British.

"Saya juga terbuka untuk ditemuduga oleh penulis," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url