Henti budaya beri amaran kepada guru yang mengkritik' - Fadhlina


 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mahu budaya memberi amaran kepada guru yang menyuarakan kebimbangan berhubung sesuatu isu menerusi media sosial dihentikan dengan segera.

Beliau berkata, ruang kritikan konstruktif penting sebagai proses semak dan imbang, mengikut saluran.

"Saya dimaklumkan guru pendidikan khas, Hasmadi Hamdan, diberi amaran oleh pegawai kerana mengkritik di media sosial.

"Saya mohon dihentikan budaya ini dengan kadar segera. Pendekatan administratif yang baik hanya boleh dicapai apabila wujud ketelusan di peringkat bilik darjah, sekolah dan pejabat pendidikan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Fadhlina menambah, guru pendidikan khas adalah barisan hadapan dalam membangun konsep madani dalam pendidikan khas.

"Kebimbangan beliau adalah kebimbangan saya.

"Adab berbeza pandangan yang sentiasa meletakkan kepentingan serta kebajikan murid-murid, guru dan tonggak profesionalisme yang memandu penjawat awam," katanya.

Bersama kenyataan itu, Fadhlina berkongsi hantaran Hasmadi yang memuatkan naik surat terbuka kepadanya berhubung isu pendidikan negara pada Isnin lalu.

Melalui hantaran itu, Hasmadi menggesa Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan (KPM) mengutamakan kepentingan dan kebajikan guru serta murid ketika memutuskan dasar-dasar utama pendidikan.

"Dalam hal Pendidikan Khas, hanya guru Pendidikan Khas yang lebih faham bagaimana menguruskan murid berkeperluan khas (MBK) di peringkat Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau sekolah pendidikan khas.

"Justeru, sumber maklumat menteri mestilah datang dari guru PPKI dan sekolah pendidikan khas juga, bukan sekadar Bahagian Pendidikan Khas di KPM atau Sektor Pendidikan Khas Negeri," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url