Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir pemuda itu dan dia kekal ditahan dipenjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
Dalam penghujahannya, Mei Ling memohon perintah itu dikekalkan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam serta kepentingan keluarga yang menghantar anak-anak mereka berusia antara enam dan 16 tahun ke pusat tahfiz berkenaan.
Beliau turut menggambarkan rentetan kejadian berhubung penemuan mayat semua mangsa dalam keadaan rentung dan mengekot sambil berpelukan kerana dibakar hidup-hidup, serta tidak boleh keluar dan hanya menunggu untuk diselamatkan.
Katanya, keadaan mayat mangsa sangat menyayat hati sehingga menggagalkan usaha pengecaman oleh pihak bomba dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terpaksa dilakukan.
"Ketika pihak bomba tiba, tiada lagi bunyi teriakan... yang tinggal hanya suasana sepi yang menyeramkan," katanya.
Terdahulu, Mei Ling berhujah, pihak pendakwaan mengemukakan keterangan ikut keadaan yang kukuh bahawa pemuda itu bertanggungjawab menyebabkan kebakaran itu.
Hujah beliau, perayu adalah pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran dan perbuatan itu dilihat oleh dua saksi penting pendakwaan iaitu SP68 dan SP69.
Katanya, tiada asas bahawa kedua-dua saksi itu berniat memerangkap perayu dengan memberi keterangan sedemikian kerana mereka bersahabat baik.
Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili perayu berhujah, keterangan ikut keadaan dikemukakan pihak pendakwaan tidak cukup kuat untuk mensabitkan anak guamnya terhadap kesalahan itu.
Hujah Haijan, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan anak guamnya yang membawa botol mineral mengandungi petrol ke tingkat dua asrama itu.
Malah, beliau berkata, ketika berbual di kedai makan berdekatan tempat kejadian, semua saksi mengesahkan tiada perbualan untuk membakar tahfiz dibuat.
"Mereka hanya berbual untuk main 'snuker' dan tiada niat untuk membakar, kecuali timbul perkataan 'belilah petrol' daripada seorang individu yang tidak dapat dikenal pasti.
"Seorang saksi pakar forensik juga menyatakan kebakaran mula berlaku pada jam 5.25 pagi sedangkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) menunjukkan anak guam saya beredar daripada kawasan itu pada jam 4.48 atau 4.49 pagi," katanya.
Sumber : Berita Harian