Pelajar STEM berkurangan jejas kemasukan ke kursus kejuruteraan

 


Kekurangan pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di sekolah menjadi antara punca kemerosotan kemasukan pelajar dalam program kejuruteraan pada peringkat universiti.

Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md Isa mengakui sejak beberapa tahun lalu terdapat cabaran untuk mendapatkan pelajar untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Katanya, selain daripada syarat kemasukan yang agak tinggi berbanding program lain, masalah itu juga disebabkan kurangnya minat pelajar sekolah dalam aliran sains tulen.

"Memang ada trend penurunan pelajar STEM pada peringkat sekolah, walaupun tidak mempunyai statistiknya, daripada maklumat diterima, kelas aliran itu juga berkurangan.

"Dulu kalau sesebuah sekolah itu ada enam kelas, tiga atau empat adalah untuk pelajar aliran sains tulen. Namun kini hanya ada satu atau dua kelas sahaja yang mengajar aliran berkenaan.

"Jadi disebabkan pelajar bidang itu semakin berkurang di sekolah, ia turut menjejaskan kemasukan pada peringkat universiti. Ini kerana bukan semua pelajar boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan, ada subjek tertentu yang perlu ada. Kalau syarat masuk tak cukup, memang tak boleh masuk," katanya kepada BH.

Semua pihak main peranan

Mengulas lanjut, Amir berkata walaupun permasalahan itu berlaku di sekolah dan bukannya pada peringkat pengajian tertinggi, beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing.

"Ini bukan sebab program itu tidak bagus mahupun masalah gaji yang kecil seperti pernah didakwa sebelum ini. Tetapi sebab pelajar tidak cukup syarat kemasukan kerana kurangnya pelajar STEM.

"Bila pelajar mula menyusut, pusat pengajian terutama IPTS ini akan lebih cepat menutup program itu. Jadi saya harap pada peringkat sekolah kena tanamkan semula minat pelajar untuk menyukai bidang STEM.

"Kerana ini adalah keperluan negara, STEM ini bukan hanya untuk kejuruteraan tetapi dalam teknologi lain juga. Kena pupuk balik supaya STEM ini kembali menjadi pilihan, mungkin ada pelajar sebenarnya dia minat cuma takut mengambil risiko kerana menganggap bahawa subjek STEM ini susah," katanya.

Sebelum ini, BH juga pernah mendedahkan kebimbangan kehilangan tenaga kerja profesional seperti doktor dan saintis disebabkan semakin ramai pelajar pada peringkat sekolah menengah tidak lagi cenderung mengikuti pelajaran dalam jurusan Sains Tulen.

Ini berdasarkan peratusan calon yang mengambil subjek Sains Tulen dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikesan terus merosot.

Pakar pendidikan bimbang jika trend itu berterusan, sasaran dasar 60 peratus pelajar mengambil bidang Sains Tulen yang merangkumi sebahagian teras Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) akan terjejas.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, dilaporkan berkata berdasarkan keputusan SPM 2022, hanya 15.2 peratus calon mengambil Sains Tulen dengan 70 peratus daripadanya gagal, atau memperoleh D dan E dalam Matematik Tambahan.

Katanya, bagi sesi 2023/2024, hanya 62,250 daripada kira-kira 415,000 pelajar Tingkatan Tiga di seluruh negara memilih aliran Sains untuk ke Tingkatan Empat.

Jumlah itu paling rendah dalam sejarah dan jauh ketinggalan berbanding dasar 60 peratus yang ditetapkan pada 1967.

Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi pada 1967 menetapkan untuk memastikan negara mempunyai sumber manusia dalam bidang sains, 60 peratus pelajar sekolah harus mengikuti aliran sains.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url