159,027 lepasan SPM ditawar lanjut pengajian di IPTA 2024

 



Seramai 159,027 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ditawarkan ke tempat bagi melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan daripada jumlah terbabit, seramai 83,667 calon ditawarkan di universiti awam (UA), manakala 43,531 calon ditawarkan di Politeknik, 26,474 Kolej Komuniti dan 5,355 Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

KPT dalam kenyataan, di sini hari ini memaklumkan tahun ini sebanyak 214,173 permohonan layak diterima bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline®.

Menurut KPT, Tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 16,593 dengan pecahan tawaran iaitu 15,082 bagi kategori B40, 425 orang kurang upaya (OKU), 732 atlet dan 354 Orang Asli.

"Selain itu, seramai 31 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat tawaran. Secara keseluruhannya, sebanyak 504 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan pecahan 104 Sijil, 53 Asasi, 346 Diploma dan satu 1 Ijazah Sarjana Muda," menurut kenyataan itu.

KPT memaklumkan saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari, bermula hari ini hingga 7 Julai ini jam 5 petang bagi calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian,

"Pihak kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya," katanya. 

KPT memaklumkan kemasukan pelajar ke institusi terbabit dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.

Keputusan

Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan pada 28 Jun 2024.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa keputusan bagi pengajian ke universiti awam (UA), politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat sijil, asasi dan diploma Sesi Akademik 2024/2025 boleh disemak mulai 12 tengah hari pada tarikh berkenaan hingga 5 petang 7 Julai.

"Keputusan boleh disemak secara dalam talian melalui pautan https://jpt.utm.myhttps://jpt.uum.edu.myhttps://jpt.unimas.myhttps://jpt.ums.edu.my dan https://jpt.umt.edu.my, atau melalui aplikasi mudah alih UPUPocket di telefon pintar," menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 29 Jun hingga 7 Julai ini menerusi laman web IPTA dan ILKA.


Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url