Kabinet akan putuskan tarikh pelaksanaan Cukai Barang Bernilai Tinggi

 


Jemaah Menteri akan memutuskan tarikh pelaksanaan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) yang pada asalnya dicadangkan untuk diperkenalkan pada 1 Mei lalu.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penangguhan itu memberi ruang bagi memperkemas dasar dan perundangan berkaitan HVGT.

Katanya, ini memastikan pelaksanaannya kelak dibuat dengan teratur dan cekap, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

"Tarikh mula pelaksanaan HVGT yang pada asalnya dicadangkan pada 1 Mei 2024 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diputuskan.

"Penelitian turut mengambil kira prinsip percukaian semasa serta memastikan ia tidak menjejaskan aktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang ingin tahu status terkini HVGT yang akan dilaksanakan dan apakah penambahbaikan butiran yang sedang diperincikan kerajaan.

Sebelum ini Anwar berkata, kerajaan dalam proses menentukan jenis barang yang akan dikenakan termasuk nilai ambang penentuan barang bernilai tinggi.

Katanya, penelitian dan kajian tuntas dibuat bagi memastikan pelaksanaannya tidak memberi kesan tambahan kepada golongan berpendapatan rendah.

Sumber : Berota Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url