Duti eksais minuman bergula dinaikkan
Kadar duti eksais bagi minuman bergula (sugar-sweetened beverages atau SSB tax) akan dinaikkan dalam dua fasa bermula 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kadar semasa iaitu 50 sen seliter (sejak Jan 2024) akan meningkat kepada 90 sen seliter.
“Hasil daripada cukai seperti ini akan digunakan untuk mengukuhkan rawatan kencing manis menggunakan ubat inhibitor SGLT2i di hospital dan klinik kesihatan KKM seluruh negara.
“Ini yang akan memanfaatkan 280,231 pesakit dengan peruntukan RM87.1 juta,” katanya ketika penggulungan perbahasan Belanjawan 2025 peringkat Kementeriaan Kesihatan di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Dr. Dzulkefly berkata, langkah itu juga membantu meluaskan rawatan Dialisis Peritoneal (PD) bagi pesakit buah pinggang tahap akhir (End-Stage Kidney Disease atau ESKD) di hospital-hospital KKM seluruh negara.
Dalam pada itu katanya, bagi menggalakkan pihak vendor minuman memperkenalkan lebih banyak minuman kurang manis dalam pasaran, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperkasa dan memperluaskan program Logo Pilihan Lebih Sihat (Healthier Choice Logo, HCL).
“Program HCL ini bertujuan membantu pengguna membuat pilihan yang lebih sihat dengan memilih makanan dan minuman yang mempunyai logo HCL sekali gus mendorong agar pihak industri merumus semula (reformulate) produk-produk mereka untuk mendapat logo HCL.
“Sehingga Oktober 2024, sebanyak 791 produk telah berjaya mendapat pengiktirafan HCL ini, di mana sebanyak 565 daripadanya adalah produk minuman manakala 118 adalah produk kumpulan susu dan produk tenusu,” katanya.
Selain itu, sebanyak 108 produk bijirin, legum, kacang dan bijian, sos, produk ikan, dan makanan siap saji (dengan izin: convenience meal) seperti makanan sejuk siap pek turut mendapatkan pengiktirafan sama.
Sumber : Kosmo!