"Diharapkan dengan pelbagai usaha yang sudah dan sedang dijalankan, kumpulan sasar ini akan menjadi mahir dalam penggunaan pembayaran tanpa tunai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam tempoh peralihan itu, Mohd Rani berkata, kaunter tiket masih menerima transaksi tunai sebelum 1 Januari apabila inisiatif itu dilaksanakan tanpa tunai sepenuhnya.
"Pelbagai medium dan hebahan dilaksanakan bagi menguar-uarkan kempen ini. Antaranya, pemakluman notis dan video melalui media sosial rasmi KTMB, edaran bahan-bahan promosi di stesen dan pengumuman di dalam tren.
"KTMB turut menjalin kerjasama dengan bank tempatan untuk membuka reruai pendaftaran pembukaan akaun di stesen terpilih bagi mereka yang belum memiliki kad debit.
"Selain itu, kakitangan barisan hadapan di stesen juga akan membantu pelanggan, khususnya untuk mendaftar Aplikasi KTMB Mobile (KITS), membuat pembelian tiket melalui KITS atau mesin kios tiket dan mendaftar atau menggunakan kad Komuter Link," katanya.
Bagi menggalakkan orang ramai menyokong kempen tanpa tunai, sebanyak 500 mata 'railpoints' percuma untuk 1,000 pendaftaran KITS terawal akan diberi manakala KTM Komuter bakal mengedarkan 1,000 kad Komuter Link secara percuma dalam menguar-uarkan inisiatif peralihan mod pembayaran.
Stesen KTMB terutama di Lembah Klang dan Utara kini dilengkapi mesin kios tiket bagi pembelian tiket komuter dan ETS.
Stesen utama di Pantai Timur juga sudah dilengkapi dengan mesin kios untuk membuat pembelian tiket Ekspres Rakyat Timuran dan Shuttle Timuran.
Bagi stesen di sektor Selatan selain dari Stesen Johor Bahru Sentral dan Kempas Baru, mesin kios hanya akan beroperasi selepas Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru siap sepenuhnya pada pertengahan 2025.
Bagaimanapun, pengguna masih boleh membuat pembelian tiket melalui medium sedia ada seperti KITS atau laman sesawang www.ktmb.com.my.
Sistem pembayaran terbuka untuk perkhidmatan KTM Komuter juga diperkenal awal tahun ini dan menyediakan pelbagai mod pembayaran yang praktikal untuk semua stesen di Lembah Klang dan Utara dengan membabitkan lebih 80 stesen.
Melalui kaedah ini, pengalaman pengguna dapat dipertingkatkan kerana perjalanan boleh menggunakan kad debit, kad kredit dan mod bercirikan komunikasi medan berhampiran (NFC) seperti Apple Pay, Samsung Pay selain KITS dan kad Touch 'n Go yang sedia ada.