Wanita lebih terkesan serangan denggi
DEMAM denggi terus menjadi masalah kesihatan awam yang utama di Malaysia, dengan ribuan kes dilaporkan setiap tahun.
Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 122,423 kes dengan 117 kematian dicatatkan, yang meneruskan trend peningkatan kematian sejak 2021.
Pakar perunding pediatrik, Dr Hon Mun Cheng, berkata walaupun denggi boleh menyerang lelaki dan wanita, penemuan terkini menunjukkan wanita mungkin lebih terkesan, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga dari segi sosial dan ekonomi.
Beliau turut menekankan, peranan kebocoran kapilari dalam tahap keparahan denggi dalam kalangan wanita.
Menurutnya, salur darah wanita secara semula jadi membenarkan lebih banyak cecair melepasi dindingnya, maka mereka lebih mudah mengalami lebam dan pendarahan dalaman.
"Keadaan ini amat membimbangkan khususnya pada wanita yang diserang demam denggi teruk ketika haid, kerana mereka berisiko mengalami pendarahan berlebihan, di samping gejala lain seperti sakit perut, muntah berterusan, pendarahan mukosa contohnya, gusi dan hidung berdarah, dan kebocoran plasma.
"Faktor ini meningkatkan risiko komplikasi teruk, memerlukan pemantauan perubatan yang rapi, terutamanya dalam kalangan wanita dengan kiraan platelet rendah atau mengalami anemia. Ia keadaan lebih lazim berlaku pada wanita berbanding lelaki," katanya.
Dr Mun Cheng berkata, wanita hamil berhadapan risiko jauh lebih besar jika dijangkiti denggi, yang boleh membawa kesan serius kepada ibu dan anak.
Katanya, denggi ketika kehamilan boleh menyebabkan bayi mempunyai berat lahir yang rendah, kelahiran pramatang, kelahiran mati, dan peningkatan risiko kematian ibu.
Malah, virus denggi boleh berjangkit kepada bayi dalam rahim, yang berpotensi mengakibatkan denggi teruk dengan gejala pendarahan pada bayi.
Katanya, selain risiko fisiologi, wanita juga sering menanggung beban sosial dan emosi lebih apabila membabitkan soal demam denggi.
"Sebagai penjaga utama dalam kebanyakan rumah tangga, wanita bertanggungjawab menjaga anak, ibu bapa yang sudah tua, dan ahli keluarga sakit.
"Bagaimanapun, apabila mereka sendiri jatuh sakit, sokongan diterima agak terhad atau terpaksa meremehkan gejala dialami demi meneruskan tanggungjawab menjaga keluarga.
"Melengahkan rawatan boleh membawa kesan besar kepada diri sendiri kerana denggi merebak dengan pantas. Tanpa rawatan tepat pada waktunya, komplikasi denggi boleh mengancam nyawa," kata Dr Mun Cheng.
Menurutnya lagi, keadaan akan semakin lebih teruk jika akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dihadkan kekangan kewangan, kekurangan kemudahan penjagaan anak, dan faktor sosioekonomi lain.
"Ini boleh menyebabkan wanita menangguhkan rawatan perubatan, dan memilih mengutamakan keluarga daripada kesihatan mereka sendiri.
"Faktor saling berkait ini mewujudkan satu kitaran sekali gus wanita lebih terdedah kepada kesan denggi yang serius hanya kerana kesukaran mereka mengutamakan kesihatan sendiri," katanya.
Beliau berkata, wanita perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan pelbagai sumber bagi melindungi diri sendiri dan keluarganya.
Katanya, pendidikan dalam mengenali gejala awal denggi penting dan wanita perlu diperkasakan dengan maklumat betul supaya mereka boleh memahami risiko dan mengambil tindakan awal.
"Jika anda mengalami demam yang berterusan, sakit badan yang teruk, ada gejala pendarahan, atau kelesuan berpanjangan, sila dapatkan rawatan perubatan dengan segera.
"Selain itu penting juga memastikan wanita mempunyai sokongan diperlukan untuk mengakses penjagaan kesihatan," katanya.
Dr Mun Cheng turut mengesyorkan pesakit mendapatkan nasihat doktor mengenai vaksinasi, dan menjadikan langkah ini sebagai sebahagian daripada pendekatan bersepadu mencegah denggi.
"Pengambilan vaksin dalam komuniti boleh membantu mengurangkan kes denggi yang teruk dan kemasukan ke hospital, meringankan tekanan pada keluarga dan sistem penjagaan kesihatan.
"Vaksinasi boleh memainkan peranan penting mengurangkan beban denggi, khususnya bagi golongan berisiko tinggi, termasuklah kanak-kanak, orang tua, individu mempunyai masalah kesihatan sedia ada, dan orang yang pernah mengalami jangkitan denggi," katanya.
'Air liur pun terasa darah'
Sementara itu, bekas pesakit denggi, Hawiah Azit, 45, berkongsi pengalaman dan cabaran dilaluinya ketika menghidap penyakit itu.


