PM umum pemberian baucar buku kepada lebih 400,000 guru
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan baucar buku diperluaskan kepada lebih 400,000 guru tahun ini.
Perdana Menteri berkata, ia lanjutan usaha kerajaan untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat khususnya pelajar sekolah dan universiti.
Beliau berkata guru mempunyai tanggungjawab besar dalam menyebarkan ilmu selain berperanan memupuk minat pelajar terhadap amalan membaca.
"Yang hadir bukan sekadar lihat buku tetapi ibu bapa, guru-guru, terima kasih bawa anak-anak. Tahun lalu kita bagi baucar.
"Tahun ini kita tak bagi kepada pelajar. Tapi kita bagi kepada guru-guru pula.
"Ya, kita tengah perang tarif dengan (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump, jadi kena baca. Sama ada ekonomi kita boleh dikukuhkan atau tidak. (Kita beri baucar kepada) semua guru, 400,000 orang (guru)," katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shaari dan Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, perlu ada garis panduan jelas mengenai pemberian baucer buku bagi mengelakkan tuntutan kepada naskah yang tidak berkualiti.
"Untuk universiti, itu Zambry jawab. Kita jaga sekolah. Universiti kita kekalkan peruntukan tahun lalu dan kita minta KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) ubah suai. Tetapi harus ada garis panduan. Buku yang dibeli mestilah bermutu dan menggalakkan ilmu," katanya.
Sementara itu ketika ditemui media selepas majlis itu, Anwar menjelaskan, KPT akan memutuskan kadar pemberian baucar buku tahun ini kepada semua penuntut di universiti.
"Baucar buku untuk guru-guru, Fadhlina akan jelaskan secara terperinci, tapi kita (kerajaan) tahun lalu (sudah) beri kepada pelajar-pelajar dan murid-murid, tahun ini beri pada guru pula.
"Kemudian untuk universiti, ataupun Pendidikan Tinggi, tentu kita berikan mengikut kategori. Ada cadangan untuk teruskan kepada mahasiswa, tapi bagi tingkatnya (kadar) ada perubahan kepada graduan ataupun pasca siswazah, dan itu kita sedang teliti tapi jumlah yang ditetapkan itu akan diputuskan," katanya.
Kadar baucar buku RM100 yang ditetapkan tahun lalu kepada semua penuntut di universiti akan diturunkan kepada RM50 tahun ini, dengan kaedah pemberian itu akan diumumkan KPT dalam masa terdekat.
Mengulas PBAKL, Anwar berkata penganjuran kali ini berjaya menarik kehadiran lebih tinggi berbanding sebelumnya, sekaligus memberi mesej positif terhadap sokongan masyarakat kepada budaya membaca.
"Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kini tersenarai sebagai antara 'Third World's Best Literature Festival' dan kehadiran, rekod 1.8 juta tahun lepas. Tahun ini melepasi 1.8 juta dan hampir dua juta orang.
Beliau juga berkesempatan meninjau serta melawat reruai dan tapak jualan buku yang tersedia di PBAKL, selain beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.
Sumber: Berita Harian


