Purata gaji, upah rakyat Malaysia meningkat kepada RM3,332 sebulan
Purata gaji dan upah bulanan pekerja di negara ini pada 2022 adalah RM3,332, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.7 peratus berbanding RM2,590 pada 2015, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Banci Ekonomi 2023 yang diterbitkan semalam.
Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata seiring dengan pertumbuhan bilangan pekerja, jumlah gaji dan upah dibayar mencatat pertumbuhan tahunan yang kukuh sebanyak 5.4 peratus, meningkat daripada RM245.8 bilion pada 2015 kepada RM354.9 bilion pada 2022.
Beliau berkata, semua sektor mencatat peningkatan pada 2022 kecuali perlombongan dan pengkuarian yang merekodkan sebanyak RM7.4 bilion dengan kadar penguncupan tahunan 0.9 peratus.
"Walaupun mencatatkan penguncupan dalam jumlah gaji dan upah dibayar, pekerja dalam sektor perlombongan dan pengkuarian memperoleh purata gaji bulanan tertinggi iaitu RM9,422 sebulan pada 2022.
"Sementara itu, pekerja dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan masing-masing memperoleh RM3,513, RM3,493 dan RM2,536 sebulan.
"Pekerja dalam sektor pertanian mencatatkan purata gaji dan upah bulanan paling rendah iaitu RM1,827," katanya dalam satu kenyataan.
Melihat kepada kategori pekerja dan kemahiran, pekerja bergaji sepenuh masa membentuk komposisi terbesar guna tenaga pada 2022, iaitu seramai 8.6 juta orang atau 86.1 peratus daripada jumlah guna tenaga.
Perincian mengikut kemahiran, pekerja separuh mahir merupakan segmen terbesar pekerja, meliputi 59.8 peratus daripada jumlah pekerja bergaji sepenuh masa atau bersamaan 5.2 juta orang.
Sementara itu, pekerja mahir dan pekerja berkemahiran rendah masing-masing merangkumi 22.3 peratus dan 17.9 peratus daripada jumlah pekerja bergaji sepenuh masa.
Jurang purata gaji dan upah bulanan antara kemahiran masih ketara, mencerminkan kewujudan struktur premium kemahiran dalam pasaran buruh negara.
Pekerja mahir menerima purata gaji bulanan tertinggi sebanyak RM6,967 pada 2022, mencerminkan kadar pertumbuhan tahunan 1.5 peratus berbanding RM6,277 pada 2015.
Manakala, secara purata, pekerja separuh mahir dan pekerja berkemahiran rendah masing-masing menerima sebanyak RM2,548 dan RM1,798 sebulan.
Mengulas lanjut lanskap buruh mengikut saiz pertubuhan bagi tahun 2022, Mohd Uzir menyatakan bahawa jumlah pekerja yang terbabit dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mencecah 6.5 juta orang, iaitu
bersamaan 65.2 peratus daripada keseluruhan guna tenaga.
Sebaliknya, beliau berkata perusahaan besar mempunyai seramai 3.5 juta orang, atau bersamaan dengan 34.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.
"Jurang gaji dan upah antara PMKS dan perusahaan besar di Malaysia kekal ketara, mencerminkan perkadaran positif antara imbuhan pekerja dengan saiz dan produktiviti pertubuhan.
"Pada tahun 2022, pekerja di perusahaan besar memperoleh secara purata gaji dan upah 47.5 peratus lebih tinggi berbanding pekerja di PMKS. Purata gaji dan upah bulanan bagi pekerja di perusahaan besar ialah RM4,145 berbanding
RM2,810 di PMKS," katanya.
Pertubuhan perniagaan di Malaysia mengambil sejumlah 10 juta pekerja pada 2022. Angka ini menandakan purata peningkatan tahunan 1.8 peratus daripada 8.9 juta orang yang dicatatkan dalam Banci Ekonomi terdahulu bagi tahun rujukan 2015.
Sementara itu, jumlah kos buruh yang merangkumi semua perbelanjaan majikan bagi penggajian pekerja adalah sebanyak RM471.8 bilion pada 2022.
Sumber Berita Harian


