RTM, Unifi TV penyiar rasmi Piala Dunia 2026
Radio Televisyen Malaysia (RTM) diumumkan sebagai penyiar utama Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia, selaras komitmen Kerajaan MADANI memastikan akses tontonan inklusif kepada seluruh rakyat.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata siaran kejohanan itu turut disokong oleh Unifi TV sebagai rakan penyiar bagi meluaskan capaian.
Katanya, RTM akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda menerusi MyTV Broadcasting, selain platform penstriman RTM Klik.
"Sementara kesemua 104 perlawanan pula akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, sekali gus memberi pilihan menyeluruh kepada peminat bola sepak di negara ini," katanya dalam sidang media mingguan.
Mengulas mengenai pemilihan RTM sebagai penyiar utama, Fahmi berkata ia mencerminkan usaha kerajaan memastikan siaran kejohanan berprestij itu dapat dinikmati secara percuma dan meluas, khususnya kepada rakyat di seluruh negara tanpa mengira lokasi.
Tambahnya, selain menyiar kejohanan berkenaan, program khas 'Grandstand' akan diadakan di Angkasapuri Kota Media dengan penyampaian dalam bahasa Melayu dan Inggeris, manakala perkembangan semasa turut dikongsikan menerusi program Selamat Pagi Malaysia.
Ditanya mengenai kos, Fahmi berkata kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM24 juta, dengan sebahagian kos dijangka ditampung melalui tajaan sektor swasta yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Kerajaan juga menegaskan kepentingan pematuhan terhadap peraturan anticetak rompak bagi semua kandungan berkaitan kejohanan ini.
"Semua pihak diseru untuk memainkan peranan secara bertanggungjawab dan tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuh terhadap sebarang pelanggaran.
"Kerajaan berharap supaya Piala Dunia FIFA 2026 akan dapat menyatukan rakyat melalui semangat sukan dan kebersamaan," katanya.

