4-dalam-1: Harga petrol RON95, diesel, gas, gula naik
Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG) dan gula naik mulai tengah malam ini. Ia berikutan keputusan kerajaan menyelaraskan kadar subsidi.
Petrol RON95, dinaikkan 5 sen menjadikan RM1.90 seliter.
Dua hari lalu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter. Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.
Harga diesel turut naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram.
Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.
Semua harga baru berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi 4 Disember 2010. Ia didedahkan pada taklimat kepada editor di Putrajaya oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU).
Kali terakhir harga barangan meningkat adalah pada 15 Julai lalu. Ia membabitkan kenaikan 5-dalam-1. Barangan yang terjejas itu adalah dua gred petrol, diesel, gula dan gas.
- MALAYSIAKINI