Top Ad 728x90

,

Tak cukup duit! - Irfan Khairi

Tak cukup duit! - Irfan Khairi

Oleh Irfan Khairi

Pernahkah anda mengalaminya? Satu keadaan yang menakutkan apabila pendapatan yang kita peroleh tidak cukup untuk membayar perbelanjaan dari bulan ke bulan. Duit yang masuk tidak banyak, tetapi pelbagai bil pula tiba dan bertambah di rumah.

Tidak cukup dengan itu, pemiutang juga memberi tekanan meminta wang pinjaman. Walaupun anda sudah cuba berjimat, duit masih tidak cukup!

Bukan saja menakutkan, situasi sebegini juga membawa kepada stres yang berlanjutan. Sedihnya, ramai yang mengalami keadaan sedemikian. Tanpa menanganinya, ia boleh mengakibatkan muflis. Namun, muflis bukanlah satu jalan mudah untuk menyelesaikan segala masalah.

Saya akui, keadaan tidak cukup duit bukan segala-galanya berpunca daripada kesilapan seseorang itu. Adakalanya ia terjadi akibat kemalangan, sakit, kecacatan, penutupan tempat kerja, keadaan keluarga, ditipu dan pelbagai lagi sebab. Namun begitu, kita sendiri perlu memikul tanggungjawab dalam menangani keadaan yang penuh cabaran ini. Sememangnya sukar, tetapi terpaksa juga lakukan sesuatu dan tiada guna hanya membiarkan keadaan menjadi lebih teruk.

Langkah pertama adalah mencari pendapatan lebih, mungkin mencari kerja tambahan secara separuh masa. Tanya pada majikan anda sama ada terdapat kerja lebih yang boleh anda lakukan secara lebih masa. Terdapat banyak kerja sambilan yang ditawarkan.

Ketepikan ego dalam memilih kerja sambilan. Pepatah Inggeris, "Beggers can't be choosers" bermaksud pengemis tidak boleh terlalu memilih.

Satu ketika dulu ketika saya masih belajar dan menghadapi masalah tidak cukup wang, saya bekerja sebagai tukang cuci untuk mendapat wang tambahan. Zaman Internet ini, terdapat juga pelbagai peluang pekerjaan untuk mendapat pendapatan tambahan yang boleh dilakukan dari rumah. Selain itu, memulakan perniagaan kecil-kecilan juga satu pilihan yang bijak.

Langkah seterusnya adalah menjual apa yang anda tidak perlu. Mungkin di rumah anda terdapat perabot atau barangan yang tidak digunakan dan hanya mengumpul habuk. Inilah masanya untuk menjual dan mendapat wang daripada barangan terbabit. Bukan saja membantu memperoleh pendapatan, tetapi ia juga membantu menambah ruang di rumah anda.

Sekiranya melakukan perkara dinyatakan itu masih tidak mencukupi, tiba masanya untuk ubah gaya hidup dalam mengurangkan perbelanjaan besar anda. Keputusan yang lebih besar perlu dilakukan seperti berpindah ke rumah yang lebih kecil dan murah mengikut kemampuan anda.

Sekiranya kos kereta agak tinggi, mungkin tiba masanya beralih kepada motosikal atau menggunakan pengangkutan awam buat sementara waktu. Seperti yang dikatakan, ketepikan ego dalam menangani masalah tidak cukup wang.

Terdapat juga badan yang membantu dari segi nasihat dan kaunseling kepada mereka yang mempunyai masalah sebegini. Ini termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang ditubuhkan oleh Bank Negara. Dapatkan bantuan dan sokongan kerana tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

- METRO AHAD


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90