Galakan bersedekah
Huraian
Amalan bersedekah adalah satu amalan yang sangat mulia yang lahir dari hati yang suci dan bersih. Bersedekah digalakkan diberikan kepada orang miskin yang dikenalpasti memang miskin tetapi tidak mempunyai sifat meminta.
Seharusnya orang yang mempunyai harta yang lebih menjadikan amalan bersedekah untuk menyuburkan sifat kemanusiaan iaitu untuk membersihkan hati dan akhlak. Selain dari itu amalan sedekah juga dapat mengeratkan silaturrahim sesama manusia.
Bagi melahirkan akhlak yang indah dalam amalan bersedekah, pemberi haruslah ikhlas dan tidak mengungkit-mengungkit pemberian yang telah diberikan. Hasil perbuatan mengungkit boleh mengundang perasaan dendam dan menjatuhkan maruah orang yang menerima sedekah tersebut. Pemberian sedekah yang diiringi dengan kata-kata yang baik sama ada berbentuk motivasi atau perangsang dapat mengubati hati yang dilanda duka dan membawa sinar kegembiraan kepada penerima.
Penutup
Allah itu Maha Kaya, Allah menggalakkan manusia bersedekah dengan ganjaran yang besar kerana amalan bersedekah diumpamakan seperti sebuah kebun yang teduh, rimbun, subur dan berbuah. Amalan bersedekah menarik rahmat, berkat dan kasih sayang Allah SWT kepada hambanya yang ikhlas.