Islam bukan agama warisan
Perbuatan mengerjakan solat pula mestilah berlunaskan kaedah betul dan tata cara tertib ditunjukkan Rasulullah s.a.w seperti hadis Baginda bermaksud: “Solatlah sebagaimana engkau melihat aku solat.”
Justeru itu, sebagai jalan selamat, umat Islam digesa menunaikan tanggungjawab sebagai umat Muhammad sejati dengan meninggalkan perbuatan mungkar.
Pensyarah Kanan, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Roslan Mohamed, berkata generasi hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran merosakkan akidah umat Islam sendiri.
“Kita mempunyai masjid besar menelan harga berjuta-juta ringgit, tetapi jemaah mengikuti majlis ilmu dan keagamaan boleh dibilang dengan jari.
“Program hiburan menarik golongan belia ke arah merosakkan keimanan dan takwa umat Islam dengan melakukan pelbagai kemaksiatan berleluasa di sana sini dan pada setiap masa, hingga sukar dibendung.
“Apa guna kita sembahyang dan memohon doa kepada Allah supaya ditunjukkan jalan yang benar, 17 kali sehari seperti dibaca dalam surah al-Fatihah,” katanya pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Surau al-Hidayah, Taman Kesumba, dekat Bukit Beruntung, Rawang, baru-baru ini.
Roslan berkata, umat Islam membantah filem dokumentari Barat menghina Islam tetapi tidak berasa apa-apa jika umat Islam sendiri melakukan kemungkaran.
“Berapa ramai anak muda kita hari ini tersungkur dalam kemaksiatan dan lembah kehinaan, tidak kenal waktu sembahyang, tidak kenal masjid, tidak suka mengikuti majlis ilmu di surau.
“Kita sedih gadis pintar Sofiah dilaporkan akhbar terbabit dengan perbuatan maksiat di luar negara tetapi kita tidak sedih gejala sama berlaku di tempat sendiri,” katanya.
Beliau berkata, umat Islam harus sedar pelbagai kegiatan hiburan tanpa batasan, pergaulan artis lelaki dan perempuan bukan muhram, tidak sembahyang dan melakukan perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam adalah menghina agama sendiri.
“Di manakah maruah dan sifat jati diri kita jika kita didedahkan dengan angka pembabitan dadah dan HIV-Aids berjumlah lebih 80,000, 78 peratus darinya penagih Muslim,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan penganut Islam beranggapan mereka menganut agama itu kerana datuk nenek mereka beragama Islam.
“Islam bukan agama warisan atau keturunan. Islam adalah agama Allah.
“Kita lihat hari ini, isu orang murtad kian merebak. Terbaru, kelab gay menjalankan kegiatan tidak bermoral secara terang-terangan dan semakin berpengaruh di kalangan masyarakat kita.
“Kita perlu kembali ke jalan diredai Allah supaya kehidupan kita sejahtera di dunia dan akhirat,” katanya.