Rancang kewangan keluarga

PERUNDING motivasi Ultra Mind Resources, Shamsuddin Abdul Kadi, berkongsi petua kewangan terutama untuk pasangan berkeluarga.

- Sejak hari pertama bergelar pasangan suami dan isteri, mereka perlu menentukan sama ada ingin memasukkan semua gaji mereka dalam akaun bersama ataupun sebaliknya.

Jika memilih menguruskan gaji secara berasingan, perlu menetapkan siapa menanggung kos bagi setiap perbelanjaan. Pastikan pembahagian dijalankan secara adil.

- Pastikan jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan daripada setiap wang gaji diterima tidak lebih daripada 70 peratus daripada wang gaji bersih yang diterima.

Ini bererti bagi setiap RM1,000 wang gaji, hanya boleh membelanjakan RM700. Hukum itu perlu dikekalkan selamanya.

- Buka dua akaun lagi bagi menempatkan 30 peratus wang gaji yang belum digunakan. Letakkan 10 peratus daripada wang gaji itu di dalam akaun satu (akaun simpanan) manakala 20 peratus lagi ke dalam akaun kedua (akaun kecemasan).

Terus menyimpan di dalam akaun kedua sebanyak 20 peratus daripada wang gaji bersih pada setiap bulan sehingga ia menyamai enam bulan wang gaji kasar.

Contohnya, jika mendapat RM2,000 bersih pada setiap bulan, perlu menyimpan sebanyak RM400 dalam akaun kedua pada setiap bulan sehingga jumlahnya menjadi RM12,000.

Apabila wang dalam akaun dua itu menyamai gaji selama enam bulan, pada bulan seterusnya pula ambil wang sebanyak 20 peratus itu untuk disimpan dalam akaun satu iaitu akaun simpanan. Setiap suami dan isteri perlu menyimpan di dalam akaun kecemasan sebanyak enam kali gaji kasar yang mereka terima setiap bulan.

Gunakan wang dalam akaun satu untuk melabur di tempat yang sah di sisi undang-undang. Tujuannya untuk mengelakkan wang dimakan oleh inflasi serta menjamin keperluan semasa dan masa depan terutama ketika kos barangan semakin tinggi.

Jangan gunakan wang dalam akaun kecemasan untuk kegunaan peribadi yang tiada kaitan dengan keperluan kecemasan. Antara kes kecemasan adalah kemalangan dan kerosakan kereta.

Jangan rompak diri sendiri yang lazimnya berlaku bila anda atau pasangan tidak dapat mendisiplinkan diri. Ini berlaku bila semua wang gaji dibelanjakan dan tiada wang kecemasan.

Pastikan diri dilengkapi pelbagai adab seperti adab masuk ke pasar raya. Apabila memasuki pasar raya, pastikan diri tidak berada dalam keadaan lapar dan masuk dengan membawa senarai.

Pastikan diri dan pasangan membentangkan bajet keluarga pada setiap bulan di atas meja makan untuk mengetahui perbelanjaan semasa.

Kesilapan dalam merancang wang gaji menyebabkan diri menanggung bebanan hutang sepanjang hayat.

Jangan biarkan bank menentukan masa depan dengan membiarkan mereka menentukan jumlah pinjaman yang perlu anda ambil.

Jangan mengambil pinjaman maksimum untuk harta yang membebankan seperti kereta. Sebaiknya ambil pinjaman yang tidak melebihi empat tahun.

Terus mendalami ilmu kewangan kerana setiap hari ada pelbagai perangkap kewangan yang mampu menyebabkan diri merana sepanjang hayat. Beringat sebelum kena terutama kad kredit dan skim ansuran mudah yang mampu menjadikan diri hamba kepadanya sepanjang hayat.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url