Top Ad 728x90

Terengganu larang ke majlis kahwin waktu kerja

Kerajaan Terengganu melarang semua anggota perkhidmatan awamnya daripada menghadiri sebarang majlis atau kenduri perkahwinan semasa waktu bertugas bagi mengelakkan proses pentadbiran negeri terganggu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong berkata, pihaknya terpaksa mengeluarkan arahan itu selepas mendapati ramai pegawai mengambil kesempatan menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan pada hari bekerja.

Menurut beliau, mereka bukan sahaja tidak berada pada waktu pejabat malah ada sesetengah kakitangan menggunakan kenderaan pejabat sedangkan ia bukan untuk kegunaan peribadi.

''Saya kesal perkara ini berlaku dan mulai hari ini saya harap kakitangan awam menghadiri majlis perkahwinan selepas pukul 1 tengah hari atau luar waktu bertugas."

''Satu pekeliling khusus mengenai larangan itu akan dikeluarkan bagi memastikan arahan benar-benar dipatuhi," katanya semasa berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada kakitangan terpilih. Seramai 30 pegawai dan kakitangan menerima anugerah tersebut.

Mereka termasuklah Pegawai Tadbir Negeri di Pejabat Tanah dan Galian Terengganu, Kamaluddin Ismail; Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Wan Harujan Wan Sulaiman; Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Jusoh Ngah; dan Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Sumber Manusia) Ahmad Awang.

Lain-lain ialah guru Sekolah Menengah Agama Khairiah, Rosyatimah Che Awang serta Pegawai Kerani Majlis Agama dan Istiadat Melayu Terengganu (Maidam), Mohammad Abdullah.

Dalam perkembangan lain, Mokhtar berkata, seramai 18 pegawai dan kakitangan awam yang bermasalah di negeri ini dibuang kerja kerana melakukan pelbagai kesalahan sepanjang tahun lepas.

Bagaimanapun, katanya, angka itu menurun berbanding seramai 22 kes pada tahun sebelumnya. ''Pemecatan mereka adalah wajar kerana jika pegawai bermasalah dibiarkan terus bekerja, mereka bukan sahaja menganggu proses pentadbiran malah menjatuhkan imej kerajaan," jelasnya.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90