Kota Perfileman - Universal Studios


Universal Studios dikomersialkan pada 1962 menjadi aset penggambaran filem hebat di dunia.

Perjalanan dari tempat penginapan, Hotel The Four Seasons, Doheny Drive, Hollywood ke Universal Studios hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit menaiki teksi, tetapi tambang yang dikenakan mencecah AS$38.00 (RM121.60)

Keluasan Universal Studios Hollywood umpama sebuah daerah, jadi adalah lebih baik penulis memulakan perjalanan seawal mungkin kerana memerlukan sehari suntuk untuk menghabiskan lawatan ke semua lokasi menarik di kawasan itu.

Oleh kerana ketika kunjungan itu Los Angeles mengalami musim panas yang juga cuti musim panas bagi orang Amerika Syarikat, kita dapat saksikan Universal Studio dibanjiri manusia dari serata pelusuk benua Amerika dan dunia.

Universal Studios Hollywood adalah studio perfileman terletak di Universal City, California dengan Woody Woodpecker (karakter kartun terkenal) menjadi maskot rasminya. Walaupun ia adalah studio perfileman paling tua dan terkemuka, ia masih digunakan untuk penggambaran filem secara aktif.

Dengan mengenengahkan tagline rasmi The Entertainment Capital of Los Angeles, lokasi itu juga dikenali sebagai The Coolest Place in Los Angeles ketika musim panas.


Untuk menikmati kemudahan dalam taman tema di Universal Studios Hollywood, sambil mengelakkan daripada letih menunggu dan beratur panjang, penulis terpaksa tutup sebelah mata dengan melabur membeli tiket istimewa berharga AS$129 (RM412).

Yang pasti, pelaburan itu berbaloi kerana tiket yang dibeli membolehkan penulis berada di barisan hadapan semua permainan dalam taman tema berkenaan.

Pada asalnya, taman tema itu dibina untuk menawarkan lawatan bagi memberikan gambaran suasana sebenar set dan soundstages di Universal Studios, kini berkembang pesat sehingga menjadi destinasi pelancongan yang mesti dilawati.

Apa yang menarik, kejayaannya itu membolehkan beberapa lagi taman tema dibina antaranya Taman Tema Universal Studios Florida dan Taman Tema Universal Studios Jepun. Selain itu, Taman Tema Universal Studios Singapura, Taman Tema Universal Studios Dubai dan Taman Tema Universal Studios Korea Selatan akan muncul tidak lama lagi.

Penulis difahamkan semuanya bermula selepas Music Corporation of Amerika (MCA) mengambil alih Universal Pictures pada 1962 dan membuka studio itu untuk dikunjungi pelancong. Kemudian pada 1964, pakej lawatan ke sekitar studio dikembangkan termasuk lawatan ke bilik persalinan, lokasi penggambaran dan persembahan pentas.

Persembahan pentas, demonstrasi lagak ngeri dan permainan berteknologi tinggi menjadi set lawatan paling popular di kalangan pengunjung sehingga menenggelamkan set produksi filem cereka.


Selain taman tema, pengunjung juga boleh menikmati keindahan Universal Hilton & Towers, Sheraton Hotels and Resorts, teater skrin berganda dan Universal CityWalk, yang menawarkan koleksi kedai dan restoran serta Gibson Amphitheatre, lokasi penganjuran konsert yang cukup popular.

Apapun pengalaman paling menarik apabila kita dapat melihat sendiri kawasan lot belakang Universal Studios yang terbakar pada 1 Jun lalu. Dalam kejadian itu Brownstone Street, New York Street, New England Street, permainan King Kong, dan sebahagian struktur bangunan Courthouse Square, set filem War of the Worlds dan Video Vault (tempat penyimpan video salinan) musnah terbakar.

Lebih 40,000 hingga 50,000 arkib video digital dan salinan video serta filem sejak 1920-an termasuk filem Knocked Up dan Atonement, siri terbitan NBC Law & Order, The Office, dan Miami Vice, siri komedi terbitan CBS I Love Lucy, turut musnah dalam kebakaran itu.

INFO

Universal Studios Hollywood



Ditubuhkan oleh Carl Laemmle, seorang berbangsa Jerman yang menetap di Oshkosh, Wisconsin, di mana dia bermula sebagai pengurus kedai pakaian.


Viacom yang dimiliki Paramount Pictures adalah studio rakaman tertua.


Universal Studios adalah studio rakaman Amerika yang kedua paling lama beroperasi di dunia.


Taman tema menjadi tumpuan ialah "Revenge of the Mummy The Ride," "Shrek 4-D," "Jurassic Park® The Ride" dan Studio Tour.


Pembinaan semula Universal Studios membabitkan kos AS$50 juta (RM160 juta)
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url