Hari Raya Aidilfitri 1429
Aidilfitri pada 1 Syawal amat bermakna, kerana ia hari kemenangan umat Islam selepas berpuasa dan disebabkan itu ia disebut juga Hari Raya Puasa.
Ia disyariatkan Allah kepada umat Islam untuk merayakannya dengan penuh kesyukuran dan amal bakti yang diredai.
Aidilfitri atau dalam bahasa Arab, ‘Idulfitri’ adalah rangkai kata id dan al-fitr. Kata `id’ (hari raya) dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan ‘aud’ ertinya yang berulang-ulang, iaitu peristiwa berulang-ulang pada setiap tahun yang membawa rahmat dan menggembirakan umat Islam, manakala fitr bermakna fitrah atau semula jadi.
Daripada Abu Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w sabdanya: Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu. (Riwayat Ibn Majah)
Hadis ini menggambarkan pada hari kiamat kelak, orang beriman dan beramal soleh, hatinya hidup iaitu bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah.
Sebaliknya orang kufur dan mengingkari perintah Allah, hatinya mati, hampa dan kecewa pada hari itu, kerana dimurkai Allah dan ditimpakan dengan balasan azab.
Pada hari raya umat Islam digalakkan menghiasinya dengan takbir (ucapan membesarkan Allah) dan tahmid (memuji Allah) sebagai menandakan kesyukuran pada hari yang mulia itu.
“Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w, bersabda: Hiasilah hari-hari raya kamu dengan takbir.” (Riwayat Tabrani)
Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin, berkata takbir itu dimulai pada malam hari raya puasa sampai waktu mengerjakan solat.
Malam hari raya juga antara waktu diperkenankan doa. Imam Syafie dalam kitab Al-Umm menjelaskan: “Dinyatakan kepada kami, doa sangat mustajab pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaban.”
Nabi s.a.w dan sahabat bertakbir, malah bersolat hari raya secara berjemaah pada hari yang mulia itu. Menurut sebuah hadis (riwayat Nafi’ dari Abdullah), Rasulullah s.a.w biasanya keluar pada pagi kedua-dua hari raya bersama-sama sahabat baginda sambil bertakbir beramai-ramai sepanjang perjalanan sehingga sampai ke tempat solat.
Di antara sahabat baginda yang turut serta ialah Saidina Ali, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Harithah dan kedua-dua cucu baginda, Saidina Hasan dan Hussain r.a.
Menurut ulama, solat Aidilfitri mula dikerjakan Rasulullah s.a.w pada tahun kedua Hijrah dan baginda berkekalan mengerjakannya hingga akhir hayatnya.
Hukum mengerjakan solat dua rakaat hari raya adalah sunat muakkad atas setiap orang Islam yang baligh dan berakal.
Waktunya bermula daripada terbit matahari tetapi sunat dilewatkan sedikit hingga matahari naik kira-kira segalah dan berkekalan waktunya hingga gelincir matahari. Ini juga memberi kesempatan kepada mereka yang belum mengeluarkan zakat fitrah, dapat mengeluarkannya sebelum solat.
Hikmah berzakat ialah menyucikan diri, sekali gus mengelakkan orang fakir, miskin dan golongan kurang bernasib baik meminta sedekah pada hari raya. Malah, golongan kurang kemampuan juga berpeluang menyambut hari raya dengan gembira.
Solat Aidilfitri sunat ditunaikan secara berjemaah, malah Rasulullah s.a.w menggalakkan umat Islam, baik lelaki mahupun perempuan, tua atau muda termasuk kanak-kanak supaya keluar beramai-ramai mengerjakannya secara berjemaah kerana ia adalah satu syiar Islam.
Pada hari raya, umat Islam juga dianjurkan saling mengucapkan selamat dan tahniah kerana dapat menyempurnakan ibadat puasa pada Ramadan, berbaik sangka dan tidak keberatan memaafkan atas segala salah dan silap.
Seorang tabi’in, Jubair bin Nufair berkata: “Apabila sahabat Rasulullah bertemu pada hari raya, mereka mengucapkan tahniah di antara satu sama lain. Ucapan mereka bermaksud, mudah-mudahan Allah menerima daripada kami dan menerimanya daripada anda.”
Umat Islam digalakkan ziarah-menziarahi kerana dengan cara itu dapat mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan persaudaraan, manakala bagi tuan rumah perlu bersikap rendah diri menerima tamu, menghormati dan melayan mereka sebaik mungkin.
Rasulullah bersabda, bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim. Sesiapa beriman kepada Allah serta hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam.”
Dalam hadis lain Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sesiapa menghormati tetamu, sesungguhnya dia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku dia memuliakan Allah. Sesiapa menjadi kemarahan tetamu, sesungguhnya dia menjadi kemarahanku. Sesiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia menjadi murka Allah.”
Bergembira dan berhibur pada hari raya tidaklah dilarang asalkan tidak terkeluar daripada batas syariat. Ini kerana Nabi s.a.w juga bergembira sebagaimana yang diperlihatkan kepada umatnya mengenai perilaku dirinya pada hari raya, seperti sebuah hadis diriwayatkan Aisyah, bermaksud: “Rasulullah masuk kepadaku dan di sisiku ada dua anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu’ats (lagu Arab).
“Lalu baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya. Kemudian Abu Bakar as-Siddiq masuk, lalu beliau mengherdikku dan berkata, “Seruling syaitan di sisi Nabi Muhammad. Rasulullah s.a.w menghadap Abu Bakar,
kemudian berkata, ‘biarkan mereka berdua’.”
Mengikut hadis riwayat Hisham, baginda menambah, “Wahai Abu Bakar, setiap kaum ada hari rayanya dan hari ini adalah hari raya kita.”