Top Ad 728x90

Rukun Negara asas perpaduan

Kenyataan Khas Majlis Raja-Raja yang dibuat sebelum mesyuarat majlis itu Khamis lalu, adalah sesuatu yang sangat bermakna memandangkan banyak kontroversi ditimbulkan ahli politik tertentu sehingga mencetuskan kebimbangan mengenai hak dan perlindungan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Kenyataan itu menyentuh isu kontrak sosial, keperluan untuk menghormati perlembagaan, hak semua kaum, kedudukan raja, status agama Islam dan bahasa Malaysia, adalah peringatan tepat pada masanya untuk kita semua mengenai tanggungjawab terhadap perpaduan, keamanan dan keharmonian. Ia sangat penting kepada kejayaan dan kemakmuran negara kita yang pelbagai kaum, agama dan budaya ini.

Bagi saya, ia adalah kenyataan mutlak yang menegaskan kesucian Perlembagaan Persekutuan dan peringatan terhadap jaminan yang terkandung di dalamnya kepada semua rakyat.

Kenyataan Majlis Raja-Raja sendiri yang menjadi pelindung kepada negara, adalah peringatan kepada mereka yang berterusan mengungkit isu perkauman, boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian dalam negara kita.

Inti pati kenyataan itu ialah mesej mengenai perpaduan, keamanan dan keharmonian yang amat diperlukan, tidak boleh diambil mudah walaupun sudah 51 tahun kita menjadi negara merdeka.

Janganlah kita gugat apa yang dicapai setakat ini. Janganlah kita benarkan sikap keterlaluan dan keganasan dalam bentuk apa pun untuk memecahbelahkan negara yang kita semua sayangi, tempat kita dilahirkan, tempat kita tinggal dan bekerja dan akhirnya tempat bersemadi nanti.

Benarkan saya menekankan sekali lagi asas yang menyatukan kita bersama iaitu prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.

Rukun Negara diwujudkan pada 1970 dengan tujuan untuk mencapai persetujuan paling minimum terhadap aspirasi nasional di kalangan rakyat negara ini daripada pelbagai kaum, keturunan dan kebudayaan.

Selain meningkatkan perpaduan rakyat, mengekalkan sistem demokrasi sebagai cara hidup, mewujudkan masyarakat yang adil, pendekatan liberal terhadap budaya, di samping membangunkan masyarakat progresif berorientasikan sains dan teknologi; Rukun Negara juga menjadi panduan sosial dalam bentuk prinsip berikut:



Kepercayaan kepada Tuhan


Kesetiaan kepada Raja dan Negara


Keluhuran Perlembagaan


Kedaulatan Undang-undang


Kesopanan dan Kesusilaan

Prinsip ini berjaya menyatukan rakyat dan menjadi prinsip kenegaraan kita, perlu disemaikan kepada generasi muda yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara adalah panduan kepada kita dalam membangunkan negara dan perlu dihormati semua. Ia adalah wawasan dikongsi bersama untuk perpaduan nasional.

Pada masa akan datang, usaha mewujud dan mengekalkan perpaduan nasional perlu diberi keutamaan paling tinggi kerana perpaduan adalah kritikal untuk memastikan pertumbuhan Malaysia sebagai negara yang selamat, aman, progresif dan bersatu.

Perpaduan adalah hadiah sangat berharga dan simbol kepada kemanusiaan kita. Ia asas untuk kita membangunkan hubungan, keluarga, masyarakat dan negara. Ia ikatan yang menyatukan kita sebagai sebuah negara.

Perpaduan adalah `benang yang rapuh' dan mudah putus atau sauh kuat yang menyatukan negara. Terpulang kepada kita untuk membuat pilihan.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90